Followers

Sunday, August 23, 2009

Islam tidak membezakan keluarga ibu tunggal

KELUARGA induk tunggal adalah rumah tangga yang diketuai oleh seorang ibu atau bapa dan tanggungjawab keibubapaan dilakukan oleh orang yang sama.

Oleh kerana majoriti keluarga induk tunggal diketuai oleh wanita, maka sering kali perbincangan mengenai induk tunggal menjurus kepada keluarga ibu tunggal. Tambahan pula jangka masa status bapa tunggal adalah lebih singkat kerana mereka lebih kerap berkahwin semula berbanding ibu tunggal.

Wujudnya keluarga induk tunggal ini berpunca daripada beberapa sebab. Pertama, kematian salah seorang pasangan hidup. Kedua, perceraian. Ketiga, kelahiran di luar institusi perkahwinan. Akhirnya, proses 'pengangkatan' anak yang penjaganya masih bujang.

Berita Harian melaporkan bahawa mengikut Laporan Banci tahun 2000, ada 620,389 ibu tunggal berbilang bangsa di negara ini. Seramai 529, 701 orang (85.4 peratus) daripada mereka kematian suami, manakala 90,688 orang (14.6 peratus) bercerai. Ini bermakna majoriti ibu tunggal adalah balu.

Peningkatan kadar perceraian menjadikan bilangan keluarga induk tunggal ini semakin bertambah. Namun, statistik yang ada belum menggambarkan jumlah sebenar kerana banyak kes lain yang secara realitinya adalah ibu tunggal, tetapi dari segi definisi atau undang-undangnya tidak dilihat sedemikian. Misalnya, perpisahan atau peninggalan pasangan tanpa pembubaran perkahwinan dan keluarga yang suami atau bapa tidak menjalankan tugas mencari nafkah kerana sebab tertentu seperti kesihatan (lumpuh), dipenjarakan, menjalani rawatan di pusat pemulihan dadah atau di institut kesihatan mental.

Perbincangan kita menumpukan kepada keluarga ibu tunggal akibat kematian dan perceraian saja.

Ada empat cabaran utama yang perlu dihadapi oleh keluarga ini. Cabaran itu ialah dari segi ekonomi, stigma sosial, beban peranan dan tanggungjawab keibubapaan. Disebabkan cabaran ini, keluarga ibu tunggal mendapat perhatian banyak pihak di negara ini.

Cabaran utama yang perlu dihadapi oleh ibu tunggal ialah ekonomi. Rata-rata, ibu tunggal menjadi lebih miskin selepas kematian suami atau perceraian. Menurut Tengku Aizan (2002), ini amat dirasai terutama pada awal pembentukan keluarga ibu tunggal kerana sebelum ini suami adalah sumber ekonomi keluarga. Keadaan ini lebih buruk lagi bagi wanita yang sebelum ini adalah suri rumah sepenuh masa.

Kajian di Barat mendapati pendapatan wanita selepas bercerai jatuh 33 peratus pada tahun pertama (Benokraitis, 1993). Bagaimanapun, keadaan adalah sebaliknya bagi lelaki.

Ibu tunggal terpaksa bekerja lebih masa untuk mencari wang dan menampung keperluan keluarga. Keadaan akan menjadi lebih sukar sekiranya ibu tunggal itu tidak memiliki kelulusan tinggi atau pengalaman bekerja.

Mutu hidup keluarga ibu tunggal sering terancam oleh sumber kewangan terhad. Kegagalan pihak suami membayar nafkah anak akan menjadikan kedudukan keluarga ibu tunggal berada dalam keadaan tidak stabil. Tuntutan masa bekerja pula akan mempengaruhi hubungan ibu dan anak.

Cabaran kedua keluarga ibu tunggal, khususnya ibu tunggal akibat perceraian ialah anggapan serong bahawa struktur keluarga sebegini adalah sesuatu yang devian (menyimpang daripada kebiasaan), jelek, aneh, janggal dan tidak berfungsi seperti sepatutnya (Tengku Aizan, 2002). Akibatnya, ahli keluarga ini sering dipinggirkan.�

Menurut Benokraitis (1993), wanita yang bercerai berasa diri dipinggirkan daripada majlis mereka yang berkeluarga. Ini kerana mereka 'takut dijangkiti', tidak mahu dilihat sebagai menyebelahi mana-mana pihak dan takut wanita itu menggugat hubungan perkahwinan yang ada.

Masalah stigma ini bukan saja dirasakan oleh orang dewasa, malah anak mereka. Amato (1991) mendapati masyarakat umum mempunyai persepsi negatif terhadap kanak-kanak daripada keluarga yang bercerai, walaupun tahu bahawa pengkaji tidak menekankan kepada kesan buruk perceraian kepada kanak-kanak. Kata Amato, jangkaan negatif ini akhirnya menjadi nyata akibat sikap masyarakat.

Cabaran seterusnya berkaitan peranan yang bertambah. Dalam keluarga ibu tunggal, si ibu tadi akan mengambil alih peranan ketua keluarga yang selama ini dipegang oleh bapa.

Peranan ini adalah sesuatu yang baru untuk ibu tunggal. Daripada seorang isteri dan ibu, kini mereka menjadi ibu, ayah, ketua isi rumah, pekerja dan pencari nafkah. Ini tidak termasuk peranan untuk membesarkan anak dan menguruskan rumah tangga secara bersendirian (Tengku Aizan, 2002).

Beban peranan yang bertambah ini memberi tekanan kepada ibu tunggal dan boleh menjejaskan kesejahteraan mereka.

Selain mengambil alih peranan bapa sebagai pencari nafkah, ibu tunggal melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa yang ditinggalkan oleh suami. Maka sudah pasti ini menambahkan beban mereka. Menurut Tengku Aizan (2002), alam keibubapaan tunggal adalah mencabar dan kadang kala tidak mendapat perhatian sewajarnya kerana ibu atau bapa tunggal sibuk bekerja.

Maka, tidak hairan kajian mendapati ibu tunggal kurang membabitkan diri dengan kerja sekolah anak dan mengalami kesukaran untuk menyelia dan mendisiplinkan anak. Anak mereka pula mempunyai tahap tingkah laku antisosial yang tinggi dan mempunyai konsep kendiri yang rendah.

Tekanan ekonomi dan ketidaksejahteraan emosi menyebabkan ibu tunggal gagal menjalankan peranan dengan berkesan (Rojanah, 2002).

Keluarga yang ideal adalah keluarga lengkap iaitu mempunyai suami, isteri dan anak. Namun, namun Islam tidak melihat keluarga ibu tunggal sebagai keluarga yang tidak berfungsi seperti sepatutnya. Tiada ayat al-Quran mahupun hadis yang menyatakan bahawa keluarga induk tunggal adalah sesuatu yang devian, jelek, aneh dan janggal.

Sebaliknya, bentuk keluarga ini, khususnya yang berpunca daripada kematian pasangan, mendapat perhatian yang istimewa daripada Allah.

Betapa tidak, dari segi ekonomi wujud pelbagai perintah yang ditetapkan demi menjaga kebajikan balu dan anak yang ditinggalkan. Ia merangkumi pembahagian harta, larangan memakan harta anak yatim, kepentingan bersedekah dan keperluan melayan anak yatim dengan baik.

Dalam kes perceraian pula, dari segi ekonomi, Allah menetapkan bahawa bekas suami perlu memberi mutaah dan nafkah edah kepada bekas isteri. Nafkah anak wajib dibayar oleh si bapa hingga mereka boleh berdikari.

Namun, oleh kerana kematian sering dianggap sebagai ketentuan takdir, keluarga ibu tunggal yang kematian suami sering dilihat sebagai mulia. Sementara, keluarga induk tunggal akibat perceraian, sering kali dilihat secara negatif.

Ini mungkin kerana umum maklum hadis Rasulullah bermaksud: "Perbuatan halal yang sangat dibenci oleh Allah ialah talak." (Hadis riwayat Abu Daud). Soalnya, wajarkah pandangan seperti ini? Seperti ajal maut dan jodoh pertemuan juga terletak di tangan Allah.

Islam tidak membezakan kedudukan keluarga ibu tunggal, baik akibat kematian mahupun perceraian. Ini kerana kedua-dua keadaan itu, mendapat perhatian sewajarnya daripada Allah. Allah yang menetapkan apa yang perlu dilakukan bagi menjamin kebajikan semua ahli yang terbabit dalam perkara itu. Hanya persepsi manusia yang membezakan kedua-duanya.

Persoalan timbul bagaimana Allah menjaga kebajikan ahli keluarga ibu tunggal. Allah sebagai Pencipta umatnya, Amat Mengetahui kemungkinan dalam hidup manusia.

Oleh itu, Allah mengeluarkan perintah tertentu bagi memenuhi keperluan manusia apabila kemungkinan itu berlaku.

artikel ini dipetik dari
27/05/2004 | Berita Harian tulisan Siti Fatimah Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq