Followers

Friday, August 28, 2009

Ramadhan terakhir


Kata ayah "sedih dan sayu rasa hati ”
Kata umi "besok raya, kenapa ayah sedih sangat?”
Kata ayah lagi "Sebab Ramadhan sudah pergi, bulan penuh keberkatan, bulan penuh pengampunan. Amal ibadat saya masih kurang dan kalau boleh saya mahu beribadat lagi banyak-banyak"

Umi nampak ayah termenung panjang. Umi tolong sendukkan nasi untuk ayah. Entah apa dalam hati ayah, hanya Tuhan yang tahu.

“Entah masih ada Ramadan untuk saya lagi tahun hadapan” suara ayah sayu. Umi hanya ketawa kecil”entah apa apa lah ayah ni.makanlah dah sejuk nasi ayah ni.

Ternyata kekhuatiran ayah menjadi kenyataan. Tahun lepas adalah terakhir Ramadhan untuk ayah. Umi cuba mengusap air mata, tidak mahu emak nampak atau siapa saja nampak. Biarlah pada pandangan mereka umi seorang yang tabah, seorang yang kuat. Biarlah hati ini luluh dan hancur berderai. Biarlah…..

Selalunya , di petang Ramadhan begini umi akan ke bazaar, cari air kelapa atau air tebu untuk ayah. Hanya itu saja minuman kegemaran ayah untuk berbuka puasa. Makanannya pula simple aje. Sebiji atau dua biji kuih cukuplah, yang penting ada kurma. Ayah tidak suka makanan di bazaar. Kata ayah cukuplah apa yang umi masak. Kadang tu cucur bilis atau cekodok pisang pun dah memandai. Ayah tak cerewet tentang makan. Lepas terawih barulah ayah makan berat. Umi akan masak lauk kegemaran ayah, apa lagi kerapu Samrod atau sup ikan. Biasalah orang Sabah mesti ada sup.Sup sayur pun jadi.

Arghh.. kalau dikenang air mata akan semakin laju mengalir

Betapanya bertuahnya mereka di luar sana menyambut Aidulfitri bersama keluarga yang sempurna. Entah bagaimana kami anak beranak menyambut Aidilfitri tahun ini. Ya Allah tabahlah hatiku, bahagiakan hati anak anakku di pagi Aidilfitri . Cucurilah rahmat ke atas roh suami ku. Tempatkan dia adalam kalangan orang yang Kau kasihi.Amin.

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI UNTUK SAHABAT SEMUA. AMPUN DAN MAAF DARIPADA KAMI SEKELUARGA.


Thursday, August 27, 2009

Soal Jawab puasa

Soalan 1:
Apakah kita dibolehkan memberus gigi selepas waktu subuh ketika berpuasa?

Jawapan:
Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.


Soalan 2:
Bagaimana pula jika kita sudah terbiasa memasukkan air ke dalm hidung ketika mengambil air sembahyang? Begitu juga, ketika mandi wajib selepas masuk waktu subuh kerana berjimak di malam sebelumnya, kita dikehendakki meratakan air ke seluruh kulit. Bagaimana kita hendak meratakan air ke dalam cuping telinga? Dikhuatiri air akan termasuk ke dalam telinga.?


Jawapan:
Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk pada bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa, kerana memasukkan air disini bukanlah menyedutnya hingga ke dalam tetapi cukup saja dengan membersihkan rongga hidung tersebut. Begitu juga dengan membasuh telinga, cukup membasuh diluarnya saja tidaklah sampai memasukkan air ke dalam rongga telinga bagi menghilangkan dahaga.


Soalan 3:
Suami isteri berjimak semasa waktu azan subuh dibulan puasa dan kemudian mandi wajib bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan subuh maksudnya puasa itu bermula?

Amat Unus, KL


Jawapan:
Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajar pun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi. Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.

Jika persetubuhan itu diteruskan walaupun telah terdengar suara azan, maka hendaklah membayar kaffarah. Pertama memerdekakan hamba, jika tidak ada atau tidak mampu, dengan berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup iaitu dengan memberi makan 60 orang miskin.


Soalan 4:
Apakah hukumnya sekiranya apabila di dalam bulan ramadhan, seseorang itu tidur di malam hari dan apabila terjaga di waktu pagi (dah terbit matahari) dan dah mula berpuasa, di dapati air mani terkeluar dari kemaluannya Bolehkah dia meneruskan puasanya dan sahkah puasanya itu?

Jawapan:
Jika kita bermimpi di malam bulan Ramadhan, dan baru tersedar ketika bangun pagi, maka segeralah mandi wajib, kemudian teruskanlah berpuasa. Sebab berjimak ataupun bermimpi pada malam hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Bahkan setengah ulama berpendapat bermimpi pada siang Ramadhan pun tidak membatalkan puasa namun ia harus segera mandi wajib.


Soalan 5:
Saya telah diserang penyakit gatal-gatal di badan. Apabila ke kelinik untuk mendapatkan rawatan, doktor telah mengenakan suntikan kepada saya. Apakah puasa saya dikira batal kerana suntikan itu?

Jawapan:
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memasukkan ubat dengan suntikan ketika siang bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Diantara yang menyokong pendapat ini iaitu Ibn Hazm. Namun setengah ulama yang lain membatalkannya.

Bagi kami hal ini melihat keadaan, jika suntikan itu terpaksa dilakukan maka ia termasuk dalam darurah dan tidak membatalkan puasa.


Soalan 6:
Adakah puasa difardhukan ke atas umat yang dahulu. Kalau difardhukan ke atas mereka, pada bulan apakah diwajibkan berpuasa?

Jawapan:
Puasa telah difardhukan ke atas umat dahulu dalam bulan Ramadhan sebagaimana difardhukan ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w.

Soalan 7:
Bagaimana hendak diketahui awal Ramadhan?

Jawapan:
Diketahui Ramadhan dengan cukup Syaaban 30 hari atau dengan nampak anak bulan Ramadhan pada malam 30 syaaban atau dengan perisytiharan pihak Kerajaan.


Soalan 8:
Bilakah yang dikatakan Hari Syak?

Jawapan:
Hari Syak ialah hari 30 syaaban dengan syarat:
1. Pada malam 30 Syaaban itu cuaca terang:
2. Orang fasik mengatakan dia nampak anak bulan.


Soalan 9:
Adakah harus berpuasa di Hari Syak?

Jawapan:
Mengikut pendapat yang kuat tidak harus berpuasa di hari tersebut kecuali puasa qada' dan nazar. Bagi mereka yang sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis maka harus baginya berpuasa.


Soalan 10:
Bagaimana hendak diketahui awal Syawal?

Jawapan:
Untuk mengetahui awal Syawal sama seperti awal Ramadhan (sila rujuk soalan 7 di atas).


Soalan 11:
Bolehkah kita berpuasa dan berhari raya mengikut negeri Mekah dan negeri yang berdekatan, kerana mereka nampak anak bulan?

Jawapan:
Tidak harus ikut berpuasa kecuali negeri-negeri itu berada dalam satu matla'


Soalan 12:
Saya berpuasa di Mekah lebih awal satu hari dari mereka berpuasa di Malaysia. Apabila saya balik, puasa saya sudah cukup 30 hari dan orang Malaysia masih berpuasa lagi. Adakah boleh saya berbuka dan berhari raya?

Jawapan:
Mengikut khaul yang lebih betul tidak boleh berbuka dan berhari raya, hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk Malaysia.


Soalan 13:
Kalau kita ke tempat yang lebih awal berpuasa mereka berhari raya kita belum cukup lagi puasa. Adakah boleh berbuka?

Jawapan:
Wajib berbuka puasa dan berhari raya mengikut negeri berkenaan. Bagi mereka yang tidak cukup puasanya sebanyak 29 hari maka wajib mengqada'kannya.


Soalan 14:
Bagaimana cara sembahyang dan berpuasa bagi negeri yang tidak ada siang dan malam?

Jawapan:
Mereka hendaklah berpuasa dan bersembahyang mengikut negeri yang berhampiran dengannya, yang mempunyai lima waktu sembahyang ataupun mengikut waktu Mekah.


Soalan 15:
Apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan?

Jawapan:
Boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada' ke atasnya.


Soalan 16:
Adakah boleh berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja dan digantikan dengan beras sebagaimana dibenarkan kepada orang tua?

Jawapan:
Tidak harus berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja.


Soalan 17:
Bagaimanakah lafaz niat puasa, adakah wajib berniat dengan fardhu Ramadhan atau puasa Ramadhan sahaja?

Jawapan:
Sebaik-baik niat dengan mengingat "Aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardhu Ramadhan". Walaubagaimanapun sah dengan niat, aku puasa Ramadhan sahaja.

* Mengikut mazhab Maliki boleh berniat pada malam pertama dengan berniat sebulan bulan Ramadhan, dan harus bagi orang-orang yang bermazhab Syafie bertaqlid kepada mazhab Maliki berniat pada malam pertama sebulan Ramadhan. Bagi puasa sunat harus berniat pada siang hari sebelum tergelincir matahari.


Soalan 18:
Pada malam Hari Syak seseorang berniat puasa "sekiranya esok 1 Ramadhan aku berpuasa. Adakah sah puasa tersebut, sekiranya esok jatuh 1 Ramadhan"?

Jawapan:
Tidak sah puasa kerana di antara syarat sah puasa ialah dengan niat yakin dan tepat.


Soalan 19:
Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa Ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum Subuh pada hari tersebut?

Jawapan:
Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.


Soalan 20:
Adakah sah puasa seseorang yang syak niatnya di waktu malam?

Jawapan:
Tidak sah kecuali dia teringat yang dia berniat puasa pada malam tersebut, sebelum maghrib.


Soalan 21:
Adakah sah seorang yang syak niat puasanya pada hari tersebut selepas berbuka?

Jawapan:
Sah puasa tersebut.


Soalan 22:
Seseorang yang berniat puasa pada malam hari kemudian dia membatalkan niatnya sebelum fajar. Adakah sah puasanya pada hari esok?

Jawapan:
Tidak sah.


Soalan 23:
Adakah sah puasa seseorang yang berbuka dengan tidak yakin/berat sangka sudah masuk waktu?

Jawapan:
Tidak sah.


Soalan 24:
Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar?

Jawapan:
Sah puasa.


Soalan 25:
Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya?

Jawapan:
Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak.

Soalan 26:
Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan?

Jawapan:
Batal puasa.


Soalan 27:
Adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk?

Jawapan:
Tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).


Soalan 28:
Orang yang berpuasa merasai tersangat dahaga kemudian memasukkan air batu ke dalam mulutnya untuk mengurangkan dahaga lalu tertelan. Adakah batal puasanya?

Jawapan:
Tidak batal puasa.


Soalan 29:
Adakah batal puasa bagi orang gila sekejap?

Jawapan:
Batal puasa.


Soalan 30:
Adakah sah puasa bagi orang yang pitam?

Jawapan:
Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.


Soalan 31:
Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib?

Jawapan:
Sah puasa.


Soalan 32:
Adakah wajib kifarat bagi orang bermukim bersetubuh selepas membatalkan puasa atau orang musafir berbuka puasa dengan bersetubuh?

Jawapan:
Tidak wajib membayar kifarat bagi orang bersetubuh begitu juga bagi orang musafir yang berbuka puasa dengan bersetubuh.


Soalan 33:
Apakah kifarat bersetubuh dengan sengaja pada bulan puasa?

Jawapan:
Kifarat bersetubuh hendaklah memerdekakan seorang hamba Islam yang sempurna dari kecacatan, kalau tidak berkuasa hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak berkuasa hendaklah beri makan kepada 60 orang miskin setiap seorang secupak. Cara membayar kifarat ini hendaklah mengikut tertib seperti di atas.


Soalan 34:
Kalau seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh kemudian mati sebelum maghrib. Apakah hukumnya?

Jawapan:
Hukumnya adalah berdosa dan tidak dikenakan kifarat ke atasnya dan keluarganya.


Soalan 35:
Kifarat bersetubuh dikenakan kepada siapa (suami atau isteri)?

Jawapan:
Kifarat bersetubuh dikenakan ke atas suami sahaja.


Soalan 36:
Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan?

Jawapan:
Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.


Soalan 37:
Adakah boleh diqada' sembahyang atau diberi fidyah kepada si mati yang tak bersembahyang?

Jawapan:
Yang muktamad tidak boleh diqada' dan tidak boleh diberi fidyah tetapi Imam Subki dari Ulama' yang bermazhab dengan Mazhab Syafie mengatakan boleh diqada' dan mengikut Mazhab Abu Hanifah boleh diberi fidyah sebagaimana fidyah mereka yang meninggalkan puasa, kita boleh bertaalik kepada dua pendapat tadi.


Soalan 38:
Adakah wajib berimsak dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, beberapa minit sebelum subuh?

Jawapan:
Tidak wajib berimsak tetapi adalah sunat menjauhi dari makan/minum dan lainnya sekadar baca surah Mursolat sebelum Subuh lebih kurang dalam enam minit.


Soalan 39:
Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya?

Jawapan:
Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.


Soalan 40:
Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina atau wathisubhah pada bulan puasa?

Jawapan:
Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).


Soalan 41:
Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak?

Jawapan:
Sunat berimsak.


Soalan 42:
Sekiranya seseorang yang membatalkan puasa nazar/qada' adakah wajib dia berimsak?

Jawapan:
Tidak wajib berimsak.


Soalan 43:
Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin / bermukim)?

Jawapan:
Mengikut khaul yang lebih betul tidak wajib berimsak.


Soalan 44:
Adakah perempuan yang haid wajib berimsak?

Jawapan:
Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.


Soalan 45:
Kanak-kanak yang tidak berpuasa dan baligh di siang hari, adakah wajib berimsak dan qada' puasanya?

Jawapan:
Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada'.


Soalan 46:
Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa?

Jawapan:
Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.


Soalan 47:
Adakah sunat berniat puasa beserta dengan lafaz?

Jawapan:
Sunat.


Soalan 48:
Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu?

Jawapan:
Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.


Soalan 49:
Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib?

Jawapan:
Tidak sah puasanya.


Soalan 50:
Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya, masuk waktu Subuh?

Jawapan:
Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu Subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada'.


Soalan 51:
Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya?

Jawapan:
Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja maka tidak batal puasanya.

Soalan 52:
Apakah hukum menggosok gigi di bulan puasa?

Jawapan:
Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.


Soalan 53:
Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi?

Jawapan:
Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila mengggosok gigi dan sengaja dia meggosoknya (Lihat Soalan 1)


Soalan 54:
Apakah hukum cabut gigi, berbekam dan berpatik semasa berpuasa?

Jawapan:
Hukumnya makruh.


Soalan 55:
Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada bulan Ramadhan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya?

Jawapan:
Tidak ada apa hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.


Soalan 56:
Seseorang yang meningal dunia, puasanya sudah diqada' tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah?

Jawapan:
Fidyahnya tidak bertambah.


Soalan 57:
Seseorang yang terdengar azan Subuh ketika dia sedang bersahur, adakah sah puasanya?

Jawapan:
Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada di dalam mulutnya.


Soalan 58:
Orang yang bersahur dengan niat untuk menguatkan puasa, adakah sah niat tersebut?

Jawapan:
Tidak sah.


Soalan 59:
Seseorang yang syak masuk waktu Subuh kemudian dia bersetubuh meninggalkan bersahur kerana bimbangkan luput waktunya, adakah sah puasanya?

Jawapan:
Sah puasanya kalau dia berniat puasa pada malam itu.


Soalan 60:
Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya?

Jawapan:
Batal puasanya.


Soalan 61:
Air liur yang terkumpul di dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya?

Jawapan:
Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.


Soalan 62:
Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa?

Jawapan:
Batal puasanya.


Soalan 63:
Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa?

Jawapan:
Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh Allah s.w.t kepadanya".


Soalan 64:
Adakah sah niat puasa di malam 30 Syaaban sedangkan hatinya tidak berat sangka bahawa esoknya masuk Ramadhan?

Jawapan:
Tidak sah niat tersebut.


Soalan 65:
Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan contact lens?

Jawapan:
Boleh.


Soalan 66:
Adakah wajib berimsak ke atas kanak-kanak yang baligh dan sedang berpuasa?

Jawapan:
Wajib berimsak ke atasnya.


Soalan 67:
Orang yang berpuasa nazar kemudian dia berbuka puasanya. Adakah wajib dia berimsak selepas dia berbuka?

Jawapan:
Tidak wajib kecuali puasa pada bulan Ramadhan.


Soalan 68:
Orang yang berpuasa yang melakukan 2 kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan 2 kifarat?

Jawapan:
Dikenakan satu kifarat sahaja.


Soalan 69:
Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya?

Jawapan:
Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab:
a. Kerana keuzuran dirinya sendiri.
b. Kerana menjaga kesihatan anak.

Keterangan:
a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada' sahaja.
b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada'dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari.
c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada' sahaja.


Soalan 70:
Adakah wajib qada' puasa yang ditinggalkan semasa dia gila?

Jawapan:
Tidak wajib qada' puasa tersebut.


Soalan 71:
Seseorang yang mati dan meninggalkan puasa tetapi walinya tidak membayarkan fidyah sehingga Ramadhan yang kedua. Adakah digandakan fidyahnya?

Jawapan:
Tidak digandakan fidyahnya. Ada pendapat mengatakan dikenakan dua cupak bagi setiap hari, satu cupak kerana tidak berpuasa dan satu cupak lagi kerana menangguhkan fidyah.


Soalan 72:
Apakah hukum seseorang yang mati yang belum sempat menunaikan puasa nazar?

Jawapan:
a. Mengikut Qaul Jadid hendaklah wali memberi secupak beras sehari.
b. Mengikut Qaul Qadim wali boleh memberi secupak beras sehari atau menggantikan puasa.


Soalan 73:
Adakah harus qada' puasa kepada simati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqada'kan puasanya oleh 30 orang selama satu hari?

Jawapan:
Harus dan Sah.


Soalan 74:
Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqada'kan puasa untuknya?

Jawapan:
Tidak boleh diqada'kan puasa kepada orang yang masih hidup.


Soalan 75:
Bolehkan dibayar fidyah 10 cupak kepada 1 orang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang?

Jawapan:
Boleh diberi kepada satu orang atau sepuluh orang.


Soalan 76:
Adakah sah bernazar puasa selama 1 tahun?

Jawapan:
Sah nazar tersebut dan hendaklah berpuasa selama tempoh tersebut termasuk dalamnya hari Tahrim (2 hari raya), tiga hari tasyrik, di bulan puasa Ramadhan dan puasa qada' ?


Soalan 77:
Apakah hukum seorang isteri bernazar untuk puasa setahun dan dilarang oleh suami?

Jawapan:
Wajib berbuka dan tidak dikenakan fidyah dan qada' kerana dikira uzur.

Soalan 78:
Adakah sah puasa sunat seorang perempuan yang dilarang oleh suaminya?

Jawapan:
Sah puasa tetapi berdosa.


Soalan 79:
Adakah wajib qada' bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya?

Jawapan:
Tidak wajib qada' pada mazhab Abu Hanifah.


Soalan 80:
Bolehkah membatalkan haji sunat atau umrah sunat?

Jawapan:
Tidak boleh kalau terbatal wajib Qada'. Catatan: Masalah ini berbeza dengan puasa sunat kerana puasa sunat boleh dibatalkan tanpa qada'.


Soalan 81:
Adakah sah berpuasa pada hari-hari Tahrim?

Jawapan:
Tidak sah dan haram berpuasa.


Soalan 82:
Apakah hukum bersahur?

Jawapan:
Hukumnya sunat.


Soalan 83:
Apakah hukum puasa sunat pada hari jumaat sahaja?

Jawapan:
Makruh berpuasa kecuali pada hari jumaat itu jatuh 10 Muharram.


Soalan 84:
Apakah hukum meneruskan puasa 2 hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka?

Jawapan:
Haram berpuasa dengan tidak berbuka.


Soalan 85:
Adakah sah berpuasa dengan tidak berbuka?

Jawapan:
Sah puasa.


Soalan 86:
Seorang yang uzur tidak dapat berpuasa hingga ke tahun berikutnya. Adakah wajib fidyah ke atasnya kerana terlewat qada' ?

Jawapan:
Tidak wajib fidyah ke atasnya wajib qada' sahaja ke atasnya.


Soalan 87:
Adakah pahala membaca AI-Quran dan bersedekah di bulan Ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain?

Jawapan:
Pahala membaca AI-Quran dan bersedekah dibulan Ramadhan adalah berganda.


Soalan 88:
Bolehkah isteri membayar fidyah puasa suami yang telah meninggal dunia?

Jawapan:
Harus isteri membayar fidyah puasa suaminya yang telah meninggal tetapi yang terutamanya ialah anak-anaknya kerana anak-anaknya yang menerima asabah daripada pusakanya. Ini berpandu kepada Imam as-Subki yang telah memfidyahkan puasa keluarganya yang telah meninggal dunia.


Soalan 89:
Hukum puasa orang yang terkentut dalam air?

Jawapan:
Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.


Soalan 90:
Apakah hukum perempuan hamil berbuka puasa kerana takut menjejaskan kesihatan kandungannya?

Jawapan:
Hukumnya harus


Soalan 91:
Hukum mencantumkan puasa qadha' dengan puasa sunat?

Jawapan:
Hukumnya harus bahkan setengah ulama' mengatakan sunat.


Soalan 92:
Hukum berniat puasa qadha' pada waktu pagi siang hari dan bagaimana niatnya?

Jawapan:
Hukumnya tidak sah kecuali puasa sunat.


Soalan 93:
Apakah hukum meninggalkan puasa kerana bersalin?

Jawapan:
Hukumnya wajib, jika perempuan yang bersalin itu ada darah nifas dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain tetapi sekiranya perempuan yang bersalin itu tiada darah nifas maka harus dia meninggalkan puasa kerana menjaga kesihatannya dan wajib qadha' pada bulan-bulan yang lain.


Soalan 94:
Bolehkah fidyah puasa dibuat jamuan kepada fakir miskin?

Jawapan:
Tak boleh fidyah puasa dengan duit. Mengikut Mazhab Shafie fidyah puasa hendaklah dengan dikeluarkan beras secupak pada satu puasa dan tidak boleh ditukarkan kepada yang lain. Oleh itu hendaklah diberi beras, jangan ditukar kepada yang lain atau makanan supaya hak orang miskin ini tidak dapat diguna oleh orang-orang yang tidak berhak.


Soalan 95:
Bolehkah berpuasa pada hari Arafah yang jatuh di hari Jumaat?

Jawapan:
Sunat berpuasa di hari arafah walaupun berlaku hari Jumaat. Yang makruh berpuasa di hari Jumaat ialah semata-mata melakukan puasa sunat.


Soalan 96:
Saya mahu qada' puasa di hari ini tetapi saya tertidur semalaman. Adakah boleh saya berniat di siang hari?

Jawapan:
Tidak boleh, kerana niat puasa qada' dan nazar itu wajib dan niat puasa qada' dan nazar adalah di malam hari. Tidak sah selepas Subuh dan boleh berniat di siang hari hanya untuk puasa sunat sahaja.


Soalan 97:
Apabila seseorang qadal puasa kemudian dia membatalkan puasanya dengan sebab kawan mengajak makan. Adakah dengan sebab yang demikian digandakan dua hari untuk puasa qadalnya?

Jawapan:
Wajib dia puasa yang dibatalkan itu sahaja dan haram membatalkan puasanya.


Soalan 98:
Adakah boleh qada' puasa pada 13 Zulhijjah?

Jawapan:
Tidak boleh kerana 13 Zulhijjah dilarang berpuasa.


Soalan 99:
Saya mahu Puasa qada's elama 10 hari. Adakah boleh saya berniat puasa di malam pertama puasa?

Jawapan:
Tidak harus kerana sepuluh puasa qada' itu adalah puasa yang berlainan seperti orang tinggal sepuluh kali pada sembahyang Subuh. Maka sepuluh Subuh itu adalah lain di antara satu sama lain. Maka hendaklah berniat pada membuat tiap-tiap sembahyang yang sepuluh itu. Begitu juga dengan puasanya.


Soalan 100:
Adakah boleh saya bagi fidyah puasa kepada satu orang?

Jawapan:
Boleh.


Soalan 101:
Ibu saya meninggal dunia pada hari yang ke sepuluh Ramadhan kerana sakit dan tidak dapat puasa. Apakah hukumnya?

Jawapan:
Tidak dikenakan apa-apa fidyah kerana dengan sebab tidak ada masa untuk dirinya mengqada'kan puasanya.


Soalan 102:
Apakah pada bulan Muharram itu ada hari diharamkan berpuasa?

Jawapan:
Tidak ada, harus berpuasa sepanjang bulan.


Soalan 103:
Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?

Jawapan:
Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.

Soalan 104:
Bolehkah puasa sepanjang tahun selain dari 2 hariraya dan hari-hari tasyrik?

Jawapan:
Boleh berpuasa bahkan sunat berpuasa sekiranya kuasa dan tidak terjejas tanggungjawab yang diwajibkan ke atasnya.


Soalan 105:
Kenapakah awal puasa dan hari raya tidak sama di antara negara-negara Islam di dunia.

Jawapan:
Awal puasa dan hari raya tidak sama kerana tidak sama matlaknya, tidak boleh disamakan waktu seperti waktu sembahyang contohnya di negara kita sudah masuk waktu Isyak tetapi di Mekah belum Maghrib lagi.


Soalan 106:
Adakah boleh berpuasa sunat di hari Jumaat?

Jawapan:
Boleh tetapi makruh puasa hari Jumaat sahaja kecuali dihubungkan dengan hari sebelum atau hari selepas. Sekiranya hari itu jatuh hari sunat berpuasa seperti sepuluh Muharram maka disunat berpuasa.


Soalan 107:
Apakah hukum orang yang berpuasa dan makan kerana terlupa?

Jawapan:
Sah puasanya kerana makan dengan tidak sengaja.


Soalan 108:
Assalammualaikum..
Di sini saya ada kemusykilan berkenaan dengan orang yang telah menninggal dunia. contohnya jikalau seorang bapa telah meninggal dunia bolehlah anaknya menggantikan puasanya, haji dan umrah bagi pihaknya.?

Jawapan:
Menurut Qaul Jadid Asy-Syafi'ie, tidak dibolehkan menggantikan (qadha) puasa orang mati secara mutlaq (baik ia mempunyai kesempatan masa hidup atau tidak) tetapi memadai dikeluarkan (fidyah) dari harta peninggalannya satu cupak sehari mengikut jumlah hari puasa yang ditinggalkan.

An-Nawawi menyatakan dibolehkan warisnya mengggantikan puasa si mati. Tetapi jika dia meninggalkan harta wajib salah satunya (qadha atau fidyah) Sah menghajikan orang yang sudah mukhallaf apabila dia tidak mampu menunaikan haji kerana tua, sakit (yang tidak ada harapan sembuh) atau meninggal dunia. Hadis di bawah dijadikan qias.

"Dari Ibnu Abbas r.a: Pernah Al Fadlu bin Abbas duduk di belakang Rasulullah s.a.w.. Lalu datang seorang wanita dari "Khats'ama" Mulailah Al Fadhlu memandang kepadanya dan wanita itu memandang kepadanya. Lalu Nabi s.a.w. memalingkan muka Al Fadhlu ke arah lain. Lalu wanita itu berkata: Ya Rasulullah sesungguhnya kewajiban Ibadah haji dari Allah itu, atas semua hambaNya. Sedangkan aku mendapatkan masa hidup ayahku dalam keadaan terlalu bangka, tidak kuat lagi naik kenderaan. Apakah saya boleh hajikan dia. Baginda menjawab: Ya. Dan peristiwa itu pada waktu Haji Wada'" (Muttafaqun Alaihi)


Soalan 109:
Seseorang yang ingin membuat sesuatu ibadat kada' sebagai denda (kifarah) kerana melanggar larangan ketika mengerjakan ibadah puasa. Dia tidak mampu hendak berpuasa berturut-turut, tiada hamba sahaya untuk dimerdekakan dan hanya mungkin mampu padanya untuk memberi makan pada 60 fakir miskin. Masalahnya sekarang susah untuk mendapatkan fakir miskin. Jika dia hanya dapat seorang sahaja fakir miskin. Bolehkah dia memberi makan pada seorang fakir miskin itu sebanyak 60 kali/hari?

Jawapan:
Tatacara membayar kafarat bulan Ramadhan. Kafarat ialah sesuatu yang mesti ditutup atau dibayar kerana melanggar syariat; cth di atas ialah bersetubuh disiang hari di bulan Ramadhan; di mana kafaratnya ialah samada membebaskan seorang hamba abdi, puasa dua bulan berturut-turut, atau memberi makan orang miskin seramai 60 orang satu mud beras atau bijirin. Hikmah kafarat: untuk menjaga syari'at supaya tidak dipermainkan.

Beberapa perbahasan dalam bab kafarat jima' di bulan puasa.

1. Tidak wajib kafarat bagi muslim yang lupa, terpaksa atau yang jahil akan hukumnya (jumhur ulama)
2. Jika isteri dipaksa oleh suami, kafarat itu hanya untuk suami (bagi madzhab Syafi'iy, kafarat itu hanya untuk suami baik terpaksa atau sengaja; ini diperkuat oleh Imam Nawawi); bagi isteri hanya dikehendaki mengkadha puasa hari itu sahaja.
3. Kafarat itu hanya untuk kesalahan bersetubuh sahaja, jika mereka makan atau minum dulu sebelum jima' tidak dikenakan kafarat (ini pandangan Imam Syafi'iy)
4. Jika seorang itu jima' (setubuh) berulang kali di bulan Ramadhan, menurut Syafi'iy, Maliki dan Hanbali kafarat itu mengikut jumlah persetubuhan; manakala madzhab Hanafi cukup satu kafarat sahaja.
5. Tambahan kepada kafarat, pelakunya hendaklah dikenakan hukum takzir oleh pemerintah dan dikehendakki menghabiskan puasanya pada hari itu (ini pandangan Syafi'iy)
6. Persetubuhan itu hendaklah sempurna bukan separuh jalan.

Cara melakukan kafarat: Jumhur ulama menggariskan tatacara melaksanakan kafarat adalah sebagaimana maksud hadis Muslim HR Abu Hurairah yakni mengikut kemampuan: pertama memerdekakan hamba abdi; jika tidak kuasa, berpuasa dua bulan berturut-turut, dan jika tidak mampu memberi makan 60 fakir miskin.

Menurut saudara penanya masalah di sini ialah susah hendak berjumpa dengan orang miskin. Ini kena berhubung dengan projek PPRT (projek pembasmian rakyat termiskin) yang telah menakrifkan pendapatan bulanan bagi rakyat termiskin dan terdapat senarai lengkap mengikut daerah atau berhubung dengan pejabat kadhi untuk mengetahui kadar sukatan beras bagi kafarat (satu mud beras berbeza mengikut negeri-negeri persekutuan) juga senarai rakyat termiskin, juga boleh menghubungi jabatan kebajikan masyarakat untuk mendapat senarai rakyat miskin;

Rujukan: Fiqhu sunnah: Sayyid Sabiq vol bab siyyam, Syaikh Jabir al Jazairy Minhaj al Muslim; al Umm asSyafi'iy.


Soalan 110:
Bagaimanakah caranya untuk kita mengira beberapa hari yang tertinggal untuk menggantikan (kada') ibadah puasa atau solah yang tertinggal pada zaman remaja, yang tidak dapat dikira kerana terlalu banyak (kadang-kadang buat, kadang-kadang tinggal)?

Jawapan:
Amalan fiqh Syafi'iy di Malaysia dan Hanbali di Saudi, wajib diganti puasa yang terdahulu dan dikenakan kafarat satu mud makanan asasi sehari kepada seorang miskin (di Malaysia: 1 cupak==0.6 kg beras) mengikut jumlah hari yang di yakini telah ditinggalkan.

Fatwa Qardhawi: amalan tersebut tidak ada sandaran dalil yang kuat, yang lebih kuat ialah hanya mengkadha' puasa sahaja tak perlu membayar kafarat; namun jika membayar kafarat atau mengeluarkan fidyah adalah lebih baik. Jika berlaku syak tentang jumlah hari yang ditinggalkan; gunakan kaedah feqah: dzan ghalib (apa yang diyakini); jika kita berpuasa terlebih dari apa yang disyakki itu adalah lebih baik.


Soalan 111:
Ada sedikit kemusykilan: Kita maklum bahawa Arab Saudi memulakan puasa sehari lebih awal dari negara kita. Bagi sesiapa yang mengerjakan umrah ketika itu bermakna telah memulakan puasa sehari lebih awal. Jika mereka kembali ke tanahair, dan menyambut Syawal (berdasarkan hisab) mengikut ketetapan negara kita, bermakna mereka telah berpuasa 31 hari sedangkan tidak pernah rasulullah berpuasa selama itu dan dalam kalender Islampun sebulan hanya antara 29 dan 30 hari. Persoalannya perlukah mereka berpuasa 31 hari kerana mengikut pemerintah disesuatu tempat itu atau berhari raya mengikut Arab Saudi supaya berpuasa selama 30 hari sahaja?

Jawapan:
Jumhur fuqaha' tidak membolehkan kita berpuasa melebihi 30 hari. Dalam kes saudara, apabila saudara berpindah dari tempat asal bermula puasa, maka hendaklah menghormati tempat anda bermastautin (Malaysia).

Saudara hendaklah berbuka pada hari ke 31 secara sirri dan mengikuti upacara solat idilfitri untuk mengelak fitnah. Inilah pandangan jumhur fuqaha'.

Ruj: Abu Bakar Jabi al Jazairy (minhaj al muslim)


Soalan 112:
Batalkah puasa air masuk ke dalam hidung semasa berwudhu'. Seseorang yang berpuasa, apabila ia mengambil wuduk dengan membasuh muka, air wuduk tadi termasuk dalam hidung terus ke tekaknya. Adakah batal puasanya?

Jawapan:
Ibn Qudamah al Hambali (al Mughni bab wudhu): jika ia berkomor atau istinsyaq dan air termasuk kedalam rongga hidung terus ketekaknya--tidak batal puasa. Ini juga pandangan Syafi'iy, Awza'iy dan Ibn Abbas.

Syaikh Qardhawi (Fatawa Mu'asirat, vol 1 bab Siyyam): yang membatalkan puasa ialah bila kita memasukkan sesuatu melalui jalan yang tabi'iy untuk makan dan minum dengan ssengaja; maka jika air itu masuk melalui cara yang tidak tabi'iy dan niat kita bukan bertujuan membatalkan puasa, maka puasa itu tidak akan batal.


Soalan 113:
Bolehkah isteri meminta izin dari suami secara blanket approval' sahaja iaitu, meminta izin secara keseluruhan baginya melaksanakan ibadat khusus yang sunat ini atau adakah setiap kali si isteri hendak melaksanakan ibadah-ibadah sunat seperti ini, maka setiap kali pula ia dikehendakki meminta izin suaminya? Bagaimana kalau pada ketika ia berhajat untuk laksanakan ibadat sunat itu suaminya tiada atau susah dihubungi, adakah si isteri perlu menunggu hingga suaminya pulang untuk meminta izin tersebut?

Jawapan:
Hukum berpuasa sunat bagi para isteri. Dua hadis sahih sebagai nas:
1. HR Bukhari, Muslim dan Abu Daud: Seorang isteri tidak boleh berpuasa selagi suaminya ada di rumah, kecuali atas keizinannya.
2. HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah: Janganlah seorang wanita itu berpuasa walau satu haripun jika suaminya berada di rumah tanpa izinnya, kecuali puasa Ramadhan. Di sini ada khilaf ulamak.

Pertama: Kebanyakan ulamak berpendapat keizinan suami hanya terbatas kepada puasa sunat, manakala puasa nazar, puasa qadha' dan puasa Ramadhan tidak perlu izin suami. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim Jld 7 pg 115.

Kedua: Sebahagian ulamak berpendapat wanita perlu meminta izin untuk berpuasa selain puasa ramadhan. Ini bermakna jika puasa itu selain puasa Ramadhan, dia perlu mendapat izin suami. Sayyid Sabiq berpendapat demikian.

Ketiga: Isteri tidak perlu mendapat keizinan suaminya untuk berpuasa apabila suaminya musafir, atau sakit atau uzur yang mana dia tidak mampu mengadakan hubungan seks. Ini adalah pandangan majoriti ulamak berdasarkan hadis dalil di atas. Ini juga pandangan Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah).

Rasional kenapa perlu mendapat keizinan suami sebelum berpuasa. Imam Nawawi menjelaskan: suami berhak mengajak isterinya jima' bila-bila masa dan pada hari apa sahaja, dan haknya itu wajib dipenuhi oleh isterinya ketika itu juga, dan tidak boleh ditangguhkan oleh kerana amalan sunat.

Al Imam al Hafidz dalam kitab al Fath: hak suami ke atas isterinya lebih kuat daripada amalan sunat dan kebajikan yang lain. Kerana itu hak suami wajib dipenuhi, maka kewajipan harus didahulukan daripada hal-hal sunat.

Komentar Syaikh Muhammad Ali Qutb (Tuhfatul 'Aris wal 'Arus): Islam memberi perhatian yang serius terhadap hubungan seks antara suami-isteri, lantas Islam melarang isteri menentukan sendiri kegiatan yang dapat menghalang keinginan seksual suaminya sekalipun kegiatan itu berupa ibadah sunat. Maka Islam mewajibkan para isteri mendahului hubungan sek yang diminta suami daripada ibadat sunat. Sebagai balasan atas hak yang diberikan kepada suami, Islam memberi hak kepada isteri yang wajib dipenuhi oleh suaminya, iaitu suami tidak boleh melakukan kegiatan yang sangat meletihkan atau menyebabkan kelemahan pada jasmaninya kerana dengan keletihan itu si isteri telah kehilangan hak untuk menikmati hubungan seks dengan suaminya.


Soalan 114:
Ada yang mengatakan wanita hamil atau menyusui anak yang meninggalkan puasa, tidak perlu qada puasa tapi cuma bayar fidyah. Tetapi ada yang mengatakan qada puasa & bayar fidyah.

"Dari Ibnu Abbas: wanita yang hamil dan wanita yang menyusui apabila khawatir atas kesehatan anak-anak mereka, maka boleh tidak puasa dan cukup membayar fidyah memberi makan orang miskin " ( Riwayat Abu Dawud ) Shahih.

"Diriwayatkan dari Nafi' dari Ibnu Umar: Bahawa sesungguhnya istrinya bertanya kepadanya (tentang puasa Ramadhan), sedang ia dalam keadaan hamil. Maka ia menjawab: Berbukalah dan berilah makan sehari seorang miskin dan tidak usah mengqadha puasa." ( Riwayat Baihaqi) Shahih.

Jawapan:
Dr Qardhawi telah membuat kajian dalam nas yang bersimpang siur ini dan dalam kitab feqahnya (fatawa mu'asirat), Qardhawi berpendapat fidyah sahaja.

Madzhab Syafi'iy antaranya yang menetapkan qadha dan fidyah. Ini adalah khilafiah dan keduanya harus untuk diamalkan.

thtl


Soalan 115:
Ada hamba Allah yang bertanyakan Jika kita sedang bersahur, tiba-tiba kedengaran azan terdapat dua hadis: HR Bukhari yang menyuruh kita mengeluarkan makanan dalam mulut dan berhenti makan dan minum. Ada juga hadis versi Abu Daud yang meriwayatkan, apa yang sudah berada dalam mulut hendaklah ditelan sahaja.

Jawapan:
Jumhur (majoriti) ulama' berpendapat jika kedengaran azan subuh, maka hendaklah dikeluarkan segala makanan yang ada dalam mulut berpandukan hadis Bukhari.

Madzhab Syafi'iy juga berpegang dengan hadis ini. Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah) juga menyokong pendapat majoriti. Atas alasan inilah setengah ulama' menyarankan penggunaan jadual waktu imsak (10 minit buffer sebelum azan subuh)

thtl


Soalan 116:
Bagaiman pula bagi orang yang memakai contact lense yang memasukkan cecair ke dalam matanya untuk membasahkan mata. Adakah itu juga boleh membatalkan puasa?

Jawapan:
Tidak batal kerana tiga alasan (illat):
a. tujuan untuk perubatan atau suatu keperluan harian yang dharuri
b. niat menitiskan cecair itu bukan menghilangkan haus (dahaga)
c. ia bukanlah jalan yang tabi'iy (normal) bagi kemasukan cecair itu. (Prof Qardhawi, Fatawa Mu'asirat, Syaikhul Islam Ibn Taymiyah, Majmu' Fatawa lil Syaikhul Islam; Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah, Jld 3)

thtl


Soalan 117:
Sahkah puasa bagi pesakit asma yang perlu menggunakan alat bantuan (saya kurang pasti namanya) yang perlu dimasukkan ke dalam mulut?

Jawapan:
Penggunaan Inhaler bagi Pesakit Athma Bagi pesakit athma atau lelah. Amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa Syaikh Ben Baz dalam koleksi fatwanya (Fataawa adDa'awah Syaikh Abdul Aziz ben Baz, Grand Mufti of Saudi Arabia, Fatwa No 979)

Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit athma juga harus berdasarkan Fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu' Fatawa Ibn Taymiyah, Jld 25, ms 248) Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka ia diharuskan Imam Ibn Hazm al Andalusi (al Muhalla, Jld 6, ms 203) tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk..

Kita terpaksa menggunakan dalil fatwa dalam masalah ini kerana ini adalah masalah baru yang tidak ujud semasa Imam-Imam besar Fiqh dahulu.


Soalan 118:
Semasa saya kecil, saya pernah mendengar pendapat yang mengatakan antara perkara perkara yang membatalkan puasa termasuklah memasukkan sesuatu kedalam rongga, contohnya seperti berikut:

1. mengorek lubang hidung dengan jari
2. mengorek telinga dengan pengorek telinga
3. menuang ubat mata (eyemore) kedalam mata boleh kah saudara dapat membetulkan was was ini dengan mengemukkan dalil dalil yang sahih.

Jawapan:
1. Tidak batal puasa dengan mengorek lubang hidung atau mengorek telinga dengan pengorek telinga.

Ini adalah pendapat Ibn Taymiyah dalam majmu' Fatawa. menurut Ibn Taymiyah, maksud batal puasa jika memasukkan sesuatu dalam rongga terbuka bermaksud memasukkan makanan atau minuman untuk menghilangkan rasa lapar atau dahaga. Sedangkan seseorang mengorek hidung atau telinga bertujuan membuat kotoran di dalamnya. namun tidak digalakan kerana boleh dilakukan waktu malam.

2. menitiskan eye-mo atau seumpamanya ke dalam mata.

Juga tidak batal puasa menurut pendapat Ibn Taymiyah dalam Majmu' Fatawa. Kerana tujuan penitisan air ubat tadi bukan berniat untuk menghilangkn haus dahaga. (lihat penjelasan Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah serta Qardhawi dalam Fatwa Mu'asirat)

thtl [Tuan Hassan Tn-Lah]

Puasa tapi tak solat

Barangsiapa berpuasa tapi meninggalkan shalat, bererti ia meninggalkan rukun terpenting dari rukun-rukun Islam setelah tauhid. Puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya, selama ia meninggalkan shalat. Sebab shalat adalah tiang agama, di atasnyalah agama tegak. Dan orang yang meninggalkan shalat hukumnya adalah kafir. Orang kafir tidak diterima amalnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Perjanjian antara kami dan mereka adalah shalat, barangsiapa meninggalkannya maka dia telah kafir." (HR. Ahmad dan Para penulis kitab Sunan dari hadits Buraidah r.a.) At-Tirmidzi berkata: Hadits hasan shahih, Al-Hakim dan Adz-Dzahabi menshahihkannya.

Jabir r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "(Batas) antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan shalat." (HR. Muslim, Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah).


Tentang keputusan-Nya terhadap orang-orang kafir, Allah berfirman: “Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang beterbangan.” (Al-Furqaan: 23).

Maksudnya, berbagai amal kebajikan yang mereka lakukan dengan tidak kerana Allah, niscaya Kami hapus pahalanya, bahkan Kami menjadikannya sebagai debu yang beterbangan. Demikian pula halnya dengan meninggalkan shalat berjemaah atau mengakhirkan shalat dari waktunya. Perbuatan tersebut merupakan maksiat dan dikenai ancaman yang keras. Allah Ta'ala berfirman:

“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang shalat, iaitu) orang-orang yang lalai dari shalatnya.” (Al-Maa'un: 4-5).

Maksudnya, mereka lalai dari shalat sehingga waktunya berlalu. Kalau Rasulullah s.a.w. tidak mengizinkan shalat di rumah kepada orang buta yang tidak mendapatkan orang yang memimpinnya ke masjid, bagaimana pula halnya dengan orang yang pandangannya tajam dan sihat yang tidak memiliki udzur.?

Berpuasa tetapi dengan meninggalkan shalat atau tidak berjemaah merupakan pertanda yang jelas bahawa ia tidak berpuasa kerana mentaati perintah Tuhannya. Jika tidak demikian, kenapa ia meninggalkan kewajipan yang utama (shalat)? Padahal kewajipan-kewajipan itu merupakan satu rangkaian utuh yang tidak terpisah-pisah, bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain.



9.1. Catatan Penting

1. Setiap muslim wajib berpuasa kerana iman dan mengharap pahala Allah, tidak kerana riya' (agar dilihat orang), sum'ah (agar didengar orang), ikut-ikutan orang, toleransi kepada keluarga atau masyarakat tempat ia tinggal. Jadi, yang memotivasi dan mendorongnya berpuasa hendaklah kerana imannya bahawa Allah mewajibkan puasa tersebut atasnya, serta kerana mengharapkan pahala di sisi Allah dengan puasanya.

Demikian pula halnya dengan Qiyam Ramadhan (shaiat malam/tarawih), ia wajib menjalankannya kerana iman dan mengharap pahala Allah, tidak kerana sebab lain. Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu, barangsiapa melakukan shalat malam pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan barangsiapa melakukan shalat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaq 'Alaih).


2. Secara tidak sengaja, kadang-kadang orang yang berpuasa terluka, mimisan (keluar darah dari hidung), muntah, kemasukan air atau bersin di luar kehendaknya. Hal-hal tersebut tidak membatalkan puasa. Tetapi orang yang sengaja muntah maka puasanya batal, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa muntah tanpa sengaja maka tidak wajib qadha' atasnya, Ctetapi) barangsiapa sengaja muntah maka ia wajib mengqadha' puasanya." (HR. Imam Lima kecuali An-Nasa'i) (Al Arna'uth dalam Jaami'ul Ushuul, 6/29 berkata: "Hadits ini shahih.")


3. Orang yang berpuasa boleh meniatkan puasanya dalam keadaan junub (hadats besar), kemudian mandi setelah terbitnya fajar. Demikian pula halnya dengan wanita haid, atau nifas, bila sudi sebelum fajar maka ia wajib berpuasa. Dan tidak mengapa ia mengakhirkan mandi hingga setelah terbit fajar, tetapi ia tidak boleh mengakhirkan mandinya hingga terbit matahari. Sebab ia wajib mandi dan shalat Subuh sebelum terbitnya matahari, kerana waktu Subuh berakhir dengan terbitnya matahari.

Demikian pula halnya dengan orang junub, ia tidak boleh mengakhirkan mandi hingga terbitnya matahari. Ia wajib mandi dan shalat Subuh sebelum terbit matahari. Bagi laki-laki wajib segera mandi, sehingga ia boleh mendapatkan shalat jamaah.


4. Di antara hal-hal yang tidak membatalkan puasa adalah: pemeriksaan darah, (Misalnya dengan mengeluarkan sample (contoh) darah dari salah satu anggota tubuh) suntik yang tidak dimaksudkan untuk memasukkan makanan. Tetapi jika memungkinkan- melakukan hal-hal tersebut pada malam hari adalah lebih baik dan selamat, sebab Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tinggalkan apa yang membuatmu ragu, kerjakan apa yang tidak membuatmu ragu." (HR. An- Nasa'i dan At-Tirmidzi, ia berkata: hadits hasan shahih)

Dan beliau juga bersabda: "Barangsiapa menjaga (dirinya) dari berbagai syubhat maka sungguh dia telah berusaha menyucikan agama dan kehormatannya." (Muttafaq 'Alaih)

Adapun suntikan untuk memasukkan zat makanan maka tidak boleh dilakukan, sebab hal itu termasuk kategori makan dan minum. (Lihat kitab Risaalatush Shiyaam, oleh Syaikh Abdul Azis bin Baz, hlm. 21-22)


5. Orang yang puasa boleh bersiwak pada pagi atau petang hari. Perbuatan itu sunnah, sebagaimana halnya bagi mereka yang tidak dalam keadaaan puasa.

Tarawih : Antara faham dan ikut-ikutan

Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda: Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan kerana iman (yang teguh) dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.[1]

Berdasakan hadis ini, umat Islam sejak zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehinggalah ke hari ini tidak pernah melepaskan peluang untuk memanfaatkan malam-malam bulan Ramadhan dengan bersolat Tarawih, membaca al-Qur’an dan sebagainya. Terdapat beberapa perkara yang dirasakan perlu untuk dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian agar kita semua benar-benar dapat menghayati solat Tarawih dengan cara yang sebaik-baiknya selari dengan tuntuan al-Qur’an dan al-Sunnah.



Pertama: Solat Tarawih hukumnya sunat.

Hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh di atas menunjukkan bahawa solat Tarawih hukumnya tidak wajib. Para ilmuan Islam mengkategorikannya sebagai sunat mua’kad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Oleh itu bagi seseorang yang hendak mendirikan solat Tarawih, hendaklah dia perhatikan bahawa dia tidak mengabaikan amalan-amalan wajib atau amalan-amalan lain yang lebih besar manfaatnya. Dalam ertikata lain, hendaklah dia beramal berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat, iaitu memprioritikan sesuatu amalan yang bakal dilakukan.

Perlu digariskan bahawa ciri-ciri Muslim yang berjaya ialah seseorang yang mampu menimbang dan membezakan amalan manakah yang paling utama untuk dia beri perhatian pada satu masa tertentu. Prioriti amal perlu dibezakan seperti berikut:

1. Amal yang wajib hendaklah diberi prioriti di atas amal yang sunat.

2. Amal yang manfaatnya untuk jangka masa panjang hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk jangka masa pendek.

3. Amal yang manfaatnya untuk orang yang besar jumlahnya hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya untuk orang yang kecil jumlahnya.

4. Amal yang manfaatnya untuk orang lain hendaklah diberi prioriti di atas amal yang manfaatnya hanya untuk diri sendiri.

Maka atas konsep Fiqh al-Awlawiyyat, jika seseorang itu terpaksa memilih antara menjaga ibubapa yang uzur dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menjaga ibubapanya. Jika seseorang terpaksa memilih antara menuntut ilmu dan bersolat Tarawih, hendaklah dia memilih untuk menuntut ilmu.

Walaubagaimanapun ini tidaklah bermakna seseorang itu tidak perlu melaksanakan solat Tarawih. Orang yang sedang menjaga ibubapanya yang uzur tetap boleh bersolat Tarawih dengan bersolat di sisi ibubapanya sambil memerhatikan mereka di antara solat. Seseorang yang sedang menuntut ilmu tetap boleh mendirikan solat Tarawihnya dalam rangka berehat sebentar di antara tempoh penuntutannya. Semua ini boleh dilakukan kerana solat Tarawih itu sendiri pada asalnya adalah satu amalan yang amat fleksibel. Hal ini akan dikupas dalam perbincangan seterusnya.

Kedua: Solat Tarawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian.

Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat Tarawih, baginda adakalanya melaksanakannya secara berjamaah dan adakalanya secara bersendirian di rumah. Abu Dzar al-Ghafiri radhiallahu 'anh menerangkan bahawa:

Kami berpuasa bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam.

Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”[2]


Dalam hadis ini terdapat dua pengajaran penting:

1. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak melaksanakan solat Tarawih berjamaah secara tetap sepanjang bulan Ramadhan. Akan tetapi baginda melaksanakannya secara bersendirian kecuali pada beberapa malam terakhir. Tujuannya adalah supaya umat dapat mengetahui bahawa solat Tarawih tidak semestinya berjamaah, akan tetapi boleh dilakukan sama ada secara berjamaah atau bersendirian.

2. Jika seseorang itu memiliki pilihan sama ada untuk melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah atau bersendirian, adalah lebih utama untuk dia melaksanakannya secara berjamaah berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:

“Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

Walaubagaimanapun pemilihan untuk melaksanaan solat Tarawih secara berjamaah hendaklah tetap ditimbang berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat sebagaimana yang telah disebut di atas.

Ketiga: Tidak ada ketetapan bagi jumlah rakaat solat Tarawih.

Jika dikaji semua riwayat berkenaan jumlah rakaat solat Tarawih yang dilaksanakan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan generasi al-Salaf al-Shalih (generasi awal umat Islam) radhiallahu 'anhum selepas kewafatan baginda, dapat dirumuskan bahawa sebenarnya tidak ada ketetapan tertentu bagi jumlah rakaat solat Tarawih. Solat Tarawih termasuk dalam kategori solat sunat pada malam hari. Muhammad bin Nashr al-Mawarzi rahimahullah (294H) di dalam kitabnya Qiyam al-Ramadhan menyebut:

Aku bertanya kepada Ahmad bin Hanbal (rahimahullah 241H) tentang jumlah rakaat yang dia lakukan untuk solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih). Saat itu dia menjawab: “Dalam masalah ini ada kepelbagaian sehingga mencapai 40 macam. Ini kerana solat tersebut (Qiyam Ramadhan/Solat Tarawih) tidak lain hanyalah solat sunat biasa.[3]

Solat-solat sunat malam boleh dilaksanakan daripada selesai solat Isyak sehinggalah terbit fajar tanpa memiliki apa-apa batas minimum atau maksimum bagi jumlah rakaatnya. ‘Abd Allah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma menerangkan:

Seorang lelaki datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.[4]

Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:

Sesungguhnya tentang solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih), Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tidak menentukan jumlah rakaatnya, hanya sahaja baginda sendiri melaksanakannya tidak lebih daripada 13 rakaat sama ada dalam bulan Ramadhan atau selainnya. Ini baginda laksanakan dengan memanjangkan rakaatnya. Apabila ‘Umar (radhiallahu 'anh) mengumpulkan orang-orang untuk berjamaah (mengerjakan Solat Tarawih) dengan diimami oleh Ubay bin Ka’ab (radhiallahu 'anh), dia melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat Witir 3 rakaat. Ini beliau lakukan dengan meringankan bacaan al-Qur’an selari dengan kadar penambahan rakaat supaya ia meringankan berbanding solat satu rakaat dengan dipanjangkan bacaannya.

Setelah itu sekumpulan daripada generasi salaf melaksanakan solat (Tarawih) secara 40 rakaat dan solat Witir 3 rakaat manakala selainnya dengan 36 rakaat dan 3 rakaat Witir. Semua ini telah berlaku dan dengan itu, sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadhan dengan apa sahaja jumlah rakaat, maka dia (dikira) telah berbuat kebaikan.

Yang utama adalah perbezaan jumlah rakaat dikira berdasarkan kepada beragamnya keadaan orang-orang yang mengerjakan solat tersebut. Jika keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat (Tarawih) dengan lama, maka adalah lebih afdal melaksanakan solat (Tarawih) dengan 10 rakaat dan 3 Witir sebagaimana yang dilaksanakan sendiri oleh Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) dan selainnya. Akan tetapi apabila tidak mungkin melaksanakan sedemikian, maka melaksanakan solat (Tarawih) dengan 20 rakaat adalah lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara 10 rakaat dan 40 rakaat.

Dan jika dilaksanakan solat (Tarawih) dengan 40 rakaat atau selainnya maka itu diperbolehkan dan tidak dimakruhkan sama sekali. Hal ini ditegaskan oleh tidak seorang dari para imam seperti Imam Ahmad (bin Hanbal) dan selainnya. Dan sesiapa yang beranggapan bahawasanya solat Qiyam Ramadhan (Solat Tarawih) mempunyai ketentuan jumlah rakaatnya daripada Nabi (shallallahu 'alaihi wasallam) tanpa boleh ditambah atau dikurangi daripadanya, maka sungguh dia telah membuat suatu kesilapan.[5]

Setelah menghimpun dan mensyarah semua hadis yang ada di dalam bab solat Tarawih, al-Syaukani rahimahullah (1252H) membuat rumusan:

Kesimpulannya, hadis-hadis di dalam bab ini (Solat Tarawih) menunjukkan kepada pensyari’atan melaksanakan solat pada malam bulan Ramadhan. Solat ini boleh dilaksanakan secara berjamaah atau sendirian. (Adapun) membatasi solat ini dengan nama “Solat Tarawih” dengan jumlah rakaat yang tertentu dan mengkhususkannya dengan bacaan-bacaan tertentu tidak pernah ditunjuki oleh sunnah.[6]


Daripada nukilan-nukilan di atas, dapat dirumuskan beberapa poin penting:

1. Solat Tarawih sebenarnya adalah solat sunat malam. Ia hanya berbeza dari sudut istilah, tidak dari sudut hakikatnya. Oleh itu jumlah rakaat bagi solat Tarawih tidak ada batasnya sebagaimana kebiasaan solat sunat malam.

2. Membiasakan gelaran “Solat Tarawih” menyebabkan sebahagian orang menganggapnya sebagai solat sunat yang khusus. Dengan itu mereka juga mengkhususkan rakaat yang tertentu dan bacaan surah-surah yang tertentu pada rakaat yang tertentu. Sebenarnya pengkhususan ini adalah tidak berasas.

3. Seseorang itu, berdasarkan Fiqh al-Awlawiyyat dirinya sendiri, boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang sesuai dengan keadaannya. Masing-masing individu boleh melaksanakan solat Tarawih dengan jumlah rakaat yang dicenderunginya tanpa ada pihak yang boleh mengatakan itu benar atau salah.

Diketahui bahawa ada sebahagian pihak yang berpendapat bahawa solat Tarawih adalah 8 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini adalah lemah sebagaimana yang dibuktikan oleh Ismail al-Anshari dalam bukunya yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi. Ia telah diterjemahkan dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat terbitan Pustaka Firdaus, Jakarta 2003. Selain itu diketahui juga bahawa ada pihak yang berpendapat solat Tarawih adalah 20 rakaat diikuti solat Witir 3 rakaat dan jumlah ini tidak boleh ditambah atau dikurangi. Pendapat ini juga adalah lemah sebagaimana yang telah penulis bahas dalam buku Solat Tarawih: Satu Perbahasan Ke Atas Fatwa yang Menetapkannya Kepada 20 Rakaat terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2000.

Keempat: Beberapa sifat solat yang diremehkan.

Sebahagian orang apabila melaksanakan solat Tarawih atau mana-mana solat sunat yang lain, mereka meremehkan beberapa sifat solat atas alasan ini hanya solat sunat, bukan solat wajib. Sifat-sifat solat yang diremehkan ini ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkan terus solat tersebut. Di antara sifat solat yang diremehkan adalah:

a) Tidak membaca al-Qur’an dengan tartil.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

“Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil” [al-Muzammil 73:04]

Membaca al-Qur’an dengan tartil bererti membaca dengan jelas kalimah-kalimahnya sambil memerhatikan disiplin hukum-hukum tajwidnya.

b) Meninggalkan bacaan Doa Iftitah dan bacaan al-Qur’an selepas al-Fatihah.

Dengan anggapan ia hanyalah solat sunat, sebahagian orang ada yang tidak membaca Doa Iftitah sebelum membaca surah al-Fatihah. Sebahagian lain turut meninggalkan bacaan ayat-ayat al-Qur’an selepas membaca surah al-Fatihah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika mendirikan solat fardhu atau solat sunat tidak pernah meninggalkan kedua-dua bacaan ini. Oleh itu janganlah kita meremehkannya kerana ini termasuk sunnah-sunnah yang penting di dalam solat.

c) Mengabaikan Thama’ninah.

Mengabaikan thama’ninah, yakni kekal di dalam sesuatu pergerakan solat sehingga merasa tenang di dalamnya, bukan sahaja mengurangi kualiti solat tetapi boleh mengakibatkan terbatalnya. Abu Hurairah radhiallahu 'anh meriwayatkan bahawa pada satu ketika pernah seorang lelaki bersolat di dalam masjid sambil diperhatikan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila lelaki itu selesai bersolat, baginda menyuruh dia bersolat semula dengan bersabda:

“Kembalilah bersolat kerana sesungguhnya kamu masih belum bersolat.” Hal ini berulang sebanyak 3 kali sehingga akhirnya lelaki itu mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membetulkan solatnya. Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar dia dengan bersabda:

Apabila kamu berdiri untuk solat, bertakbirlah, kemudian baca daripada al-Qur’an apa yang memudahkan bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian berdirilah semula sehingga kamu tegak di dalamnya, kemudian bersujudlah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah), kemudian duduklah sehingga kamu kekal tenang di dalamnya (thama’ninah) dan lakukanlah sedemikian bagi keseluruhan solat kamu.[7]

Penekanan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk kekal di dalam setiap pergerakan solat sehingga merasa tenang (thama’ninah) menunjukkan bahawa itulah kesilapan yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga menyebabkan solatnya tidak dikira sah oleh Rasulullah. Thama’ninah juga disyaratkan kita iktidal sebagaimana yang dijelaskan oleh Abu Humaid radhiallahu 'anh:

Apabila baginda mengangkat kepalanya (daripada rukuk), baginda berdiri sehingga setiap daripada kepingan tulang belakangnya berada di posisi yang asal.[8]

Ada yang berpendapat lamanya tempoh thama’ninah adalah sekadar seseorang membaca “Alhamdulillah” atau “Subhanallah”, akan tetapi pendapat ini tidak diperoleh dalilnya. Yang dicenderungi sebagai sesuatu yang mendekati kebenaran adalah bahawa thama’ninah itu wajib mengekalkan seseorang itu dalam satu posisi secara tenang sehingga dia dapat melengkapkan seluruh bacaan tasbih atau doanya. Ini kerana seseorang itu tidak dapat dikatakan telah rukuk atau iktidal atau sujud dengan dia dapat menyempurnakan bacaannya dalam posisi tersebut. Ibn Taimiyah berkata:

Tempoh thama’ninah dalam rukuk dan sujud adalah lebih kurang selama 3 kali bacaan tasbih. Sebab menurut sunnah, pada waktu rukuk dan sujud bacaan tasbih adalah 3 kali dan itu adalah yang paling minima, maka lamanya tempoh thama’ninah adalah sekurang-kurangnya (dilengkapkan ) 3 kali bacaan tasbih.[9]

d) Bersolat dengan terburu-buru.

Antara perbuatan yang tidak disukai dalam solat, sama ada solat wajib mahupun solat sunat, ialah terburu-buru dalam melaksanakannya. Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” [al-Mu’minun 23:1-2]

Khusyuk di dalam solat bukan sekadar prihatin kepada bacaan-bacaannya tetapi juga kepada pergerakan-pergerakan solat sehingga dapat memelihara kesempurnaannya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan:

Sempurnakanlah rukuk dan sujud kerana sesungguhnya perumpamaan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan sujudnya adalah seperti orang yang lapar, tidaklah dia makan kecuali satu atau dua biji kurma yang tidak mencukupkannya sama sekali (maksudnya – tidak mendapat apa-apa manfaat daripada solatnya).[10]

e) Meringkaskan bacaan selawat di dalam solat.

Ramai yang berpendapat selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam bacaan tasyahud hanya wajib sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” manakala bacaan selebihnya sehingga “Fil ‘Alamina innaka hamidun majid” hanyalah sunat. Atas pendapat ini ada yang melaksanakan solat Tarawih dengan diringkaskan bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Sebenarnya tidak ada dalil yang menyatakan bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di dalam solat boleh dibezakan antara yang wajib dan sunat, antara duduk tasyahud awal dan duduk tasyahud akhir. al-Shan‘ani rahimahullah (1186H) menegaskan:

Selawat bagi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam (di dalam solat) adalah tidak sempurna tanpa disertai selawat terhadap keluarga baginda. Orang yang bersolat hanya dianggap telah berselawat kepada Nabi apabila dia mengucapkan lafaz selawat secara lengkap sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di mana di dalamnya termasuk selawat kepada keluarga baginda. Hal ini berdasarkan (hadis di mana) sahabat bertanya: “Bagaimana kami mengucapkan selawat kepada kamu?” Lalu baginda menjawab dengan menjelaskan bahawa cara selawat adalah selawat ke atas dirinya dan ahli keluarganya.

Sesiapa yang tidak mengucapkan selawat bagi keluarga baginda (di dalam solat) maka bererti dia belum mengucapkan selawat yang sesuai dengan cara selawat yang diajarkan oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, bererti dia belum melaksanakan perintah dengan sebenarnya. Oleh itu dia belum termasuk orang yang berselawat kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Begitu juga dengan lanjutan hadis mulai dari “Kama sholaita……” dan seterusnya, ia wajib dibaca kerana termasuk yang diperintahkan daripada bacaan selawat tersebut.

Sesiapa yang membezakan antara bacaan-bacaan selawat dengan mengatakan wajib sebahagian sahaja dan sunat sebahagian yang lain, maka itu adalah pendapat yang tidak memiliki dalil.[11]

f) Tidak menjaga disiplin berjamaah

Termasuk beberapa sifat solat yang diremehkan ialah tidak menjaga disiplin berjamaah apabila melaksanakan solat Tarawih secara berjamaah. Antara disiplin yang lazim diremehkan ialah melurus dan merapatkan saf. Melurus dan merapatkan saf merupakan ciri kesempurnaan solat berjamaah manakala merenggangkan saf bererti membuka ruang bagi syaitan masuk di antaranya. Disiplin solat berjamaah yang lain yang perlu diperhatikan ialah mengikuti imam tanpa mendahuluinya atau ketinggalan daripadanya. Ketahuilah bahawa solat berjamaah adalah lambang kesatuan umat Islam. Apabila ahli-ahli jamaah tidak berdisiplin dalam menjaganya, ia memberi gambaran akan betapa lemahnya kesatuan umat.

Demikian beberapa sifat solat yang lazimnya diremehkan, di antaranya ada yang merosakkan kesempurnaan solat dan ada yang membatalkannya terus. Yang penting, hendaklah setiap individu Muslim yang melaksanakan solat peka bahawa dia sedang bermunajat kepada tuhannya, Allah 'Azza wa Jalla. Maka hendaklah dia memerhatikan adabnya apabila sedang bermunajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menegur seorang lelaki tentang solatnya:

Wahai fulan, apakah kamu tidak takutkan Allah? Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana kamu solat? Sesungguhnya apabila seseorang kamu melaksanakan solat sesungguhnya dia tidak lain berdiri bermunajat kepada tuhannya. Maka hendaklah dia memerhatikan bagaimana dia bermunajat (kepada-Nya).[12]

Kelima: Berzikir di antara solat Tarawih

Ini adalah antara amalan yang dipandang baik oleh orang ramai padahal Allah dan Rasul-Nya tidak pernah memandang baik untuk berzikir dengan bacaan atau cara tertentu apabila sedang berehat di antara solat Tarawih. Seandainya berzikir apabila sedang berehat di antara solat Tarawih adalah sesuatu yang baik, maka pasti Allah dan Rasul-Nya akan menganjurkannya sehingga dilaksanakan sepenuhnya oleh generasi awal umat Islam. Namun anjuran ini tidak pernah wujud dan perlaksanaannya juga tidak pernah diketahui, justeru siapakah kita untuk menentukan apa yang baik atau buruk di sisi Allah?

Waktu berehat di antara solat tarawih boleh dimanfaatkan untuk apa jua amalan yang baik. Akan tetapi tidak boleh mengkhususkan amalan tersebut seolah-olah ia adalah sebahagian daripada kaifiat solat Tarawih yang disyari‘atkan.

Sememangnya diketahui alasan yang diberikan adalah, berzikir adalah lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung. Ia dianjurkan dalam suasana umat Islam masa kini yang dilanda kemalasan untuk berzikir. Sebenarnya ini adalah alasan yang biadap terhadap Allah dan Rasul-Nya, seolah-olah Allah dan Rasul-Nya leka daripada mensyari‘atkan apa yang baik kepada manusia. Yang benar agama Islam telah lengkap, yang tidak lengkap adalah ilmu dan pelaksanaannya oleh umat. Akibat jahil daripada apa yang sebenarnya disyari‘atkan, umat Islam mula mencipta apa yang baik di sisi teori mereka, seolah-olah agama ini adalah milik mereka untuk diubah suai dan ditokok tambah.

Nasihat penulis kepada para pembaca sekalian, tinggalkanlah sunnah kebiasaan masyarakat dan kembalilah kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Peganglah ia dengan teguh dan beramallah dengannya kerana ia dijamin oleh Allah sebagai sesuatu yang benar-benar baik. Berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ialah beramal dengan apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan tidak beramal dengan apa yang tidak diamalkan oleh Rasulullah.

_____________________________________

Nota Kaki:

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya - hadis no: 759 (Kitab Solat, Bab Anjuran beribadah pada malam Ramadhan…)

[2] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i – hadis no: 1604 (Kitab Solat malam, Bab Solat Malam pada bulan Ramadhan)

[3] Dinukil daripada buku Ismail al-Anshari yang berjudul Tashhih Hadits Solat al-Tarawih Isyrin Rakaah wa al-Radd ‘ala al-Albani fi Tadh‘aifhi; edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat dengan judul Otentisitas Hadis Shalat Tarawih 20 Rakaat (Pustaka Firdaus, Jakarta 2003), ms. 83

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya - hadis no: 473 (Kitab Solat, Bab Duduk berlingkaran dalam masjid).

Pihak yang menetapkan solat Tarawih kepada rakaat tertentu berhujah bahawa hadis di atas tidak merujuk kepada perbincangan rakaat tetapi merujuk kepada waktu menunaikan solat-solat sunat malam. Hujah ini adalah lemah dan tertolak dari dua sudut:

1. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam merujuk kepada persoalan tentang kaifiat (tatacara) solat-solat sunat malam. Perbincangan tentang jumlah rakaat termasuk dalam keumuman kaifiat solat.

2. Seandainya jumlah rakaat solat-solat sunat malam memiliki ketetapan, sudah tentu ia termasuk hal penting yang akan dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika menjawab persoalan tersebut. Ini kerana hal yang penting tidak boleh ditangguh atau dilengah-lengahkan penjelasannya. Apabila Rasulullah tidak menjelaskannya, sama ada dalam hadis ini atau hadis-hadis yang lain, bererti ia sememangnya tidak memiliki ketetapan.

[5] Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 22, ms. 272

[6] Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar (Dar al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2000), jld. 2, ms. 269

[7] Shahih al-Bukhari – hadis no: 757 (Kitab Azan)

[8] Shahih Bukhari – hadis no: 0828 (Kitab Azan)

[9] Dinukil daripada buku Fatawa Mu‘ashirah (edisi terjemahan oleh al-Hamid al-Husaini dengan judul Fatwa-Fatwa Mutakhir; Pustaka Hidayah, Bandung 1996), ms. 415

[10] Sanad Jayyid (baik): Dikeluarkan oleh Abu Ya’la di dalam Musnadnya – hadis no: 7184 dengan sanad yang dinilai jayyid oleh Husain Salim Asad

[11] Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram (Dar al-Arqam, Beirut), jld. 1, ms. 219. Untuk hadis-hadis yang mengajar cara berselawat yang lengkap, rujuk buku penulis Marilah Berselawat Kepada Rasulullah terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2002.

Dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah (al-Fath li I’lam al-Arabi, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 203 (Bab: Disunatkan meringkaskan tasyahud awal), al-Sayid Sabiq menulis:

Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal) kerana diterima daripada Ibn Mas’ud (radhiallahu 'anh) dia berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Riwayat Ahmad dan para ahli sunan dan berkata al-Tirmizi, hadis hasan kecuali bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.

Berkata al-Tirmizi: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.”

Dan berkata Ibn al-Qayyim: “Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.”

Sekian al-Sayid Sabiq. Daripada kata-kata di atas, seolah-olah dibolehkan meringkaskan bacaan selawat dalam solat ketika duduk tasyahud pertama. Yang benar tidaklah demikian. Berikut adalah penelitian lanjut ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq:

Pertama: Hadis Ibn Mas‘ud.

Hadis yang berbunyi: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah duduk di atas bara yang panas” adalah dhaif kerana sanadnya terputus. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Tirmizi dan dinukil sendiri oleh al-Sayid Sabiq.

Telah berkata al-Tirmizi: “Hadis hasan kecuali bahawasanya ‘Ubaidah tidak mendengar daripada ayahnya.” Rujuk Sunan al-Tirmizi – hadis no: 364 di mana gelaran sebenar bagi ‘Ubaidah ialah Abi ‘Ubaidah. Hadis ini juga dikeluarkan oleh Ahmad (1/428 & 460), Abu Daud (995) dan al-Nasai (1170), semuanya melalui jalan periwayatan yang berpangkal kepada Abi Ubaidah.

Abi ‘Ubaidah, beliau ialah ‘Ubaidah bin ‘Abd Allah bin Mas‘ud, anak kepada ‘Abd Allah ibn Mas’ud. Al-Mubarakfuri menukil daripada al-Hafiz al-Munziri bahawa ‘Amr bin Marh pernah bertanya kepada ‘Ubaidah: “Pernahkah anda menyebut apa-apa daripada ‘Abd Allah (ayahnya)?” ‘Ubaidah menjawab: “Aku tidak pernah menyebut (meriwayatkan daripada ayahku) apa-apa.” [Tuhfah al-Ahwazi Syarh Sunan al-Tirmizi (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut), jld. 2, ms. 301]

Namun hadis Ibn Mas‘ud ini memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Tamim bin Salamah, yang dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah bahawa Abu Bakar radhiallahu 'anh: “Apabila duduk pada dua rakaat yang awal, ia seolah-olah seperti duduk di atas bara yang panas” Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’ie al-Kabir: “Isnadnya sahih.” Ini dinukil oleh al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi, jld. 2, ms. 302. Oleh itu penilaian hasan oleh al-Tirmizi tidak sahaja dengan merujuk kepada hadis Ibn Mas‘ud tetapi juga perbuatan seorang sahabat yang lain, iaitu Abu Bakar radhiallahu 'anh.

Setelah sabit darjat hadis, kita beralih kepada matannya pula. Kata-kata “seperti duduk di atas bara yang panas” adalah kiasan bagi menunjukkan duduk yang tidak lama. Yang perlu dikaji sekarang ini adalah lama dari ukuran siapa? Ini kerana lama atau tidak adalah sesuatu yang relatif. Memandangkan hadis di atas merujuk kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka kita menggunakan solat baginda sebagai skala ukuran.

Sesiapa yang lazim membaca hadis-hadis tentang tatacara baginda bersolat, nyata bahawa qiyamnya, rukuknya, sujudnya dan sebagainya adalah amat lama. Termasuk sifat solat baginda ialah duduk lama apabila membaca tasyahud akhir. Ini kerana baginda berdoa di akhir tasyahud sebelum beri salam. Perlu digariskan bahawa sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam berdoa bukanlah setelah selesai solat sepertimana yang lazim kita lakukan, tetapi berdoa selepas bacaan tasyahud dan sebelum beri salam. Oleh itu duduk membaca tasyahud akhir bagi baginda memang amat lama.

Jika hal ini jelas kepada kita, fahamlah bahawa perbandingan yang dilakukan oleh Ibn Mas‘ud ialah antara duduk tasyahud awal dan akhir. Jelas bahawa daripada pengamatan beliau, duduk pada tasyahud awal bagi Rasulullah adalah lebih pendek tempoh berbanding tasyahud akhir. Namun adakah lebih pendek bererti baginda meringkaskan bacaan selawatnya?

Tidak boleh dirumuskan demikian kerana hadis di atas tidak bersifat membezakan antara bacaan selawat yang dibaca. Yang dibezakan hanya tempoh duduk. Berdasarkan analisa kepada sifat solat baginda secara keseluruhannya, dapat diketahui bahawa yang menyebabkan perbezaan tempoh adalah sama ada baginda membaca doa di akhir selawat atau tidak. Bagi duduk tasyahud akhir, baginda sememangnya diketahui membaca doa sebelum memberi salam. Manakala bagi duduk tasyahud awal baginda tidak membaca doa, maka kerana itulah duduk baginda lebih pendek tempohnya. Oleh itu hadis Ibn Mas‘ud di atas bukan dalil bagi membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud akhir.

Kedua: Kata-kata al-Tirmizi.

Berkata al-Tirmizi setelah mengeluarkan hadis di atas: “Dan telah menjadi amalan atas hal ini di sisi ahli ilmu, mereka memilih untuk tidak duduk lama pada rakaat yang kedua dan tidak ditambah atas bacan tasyahud apa-apa.” Tumpuan kita adalah kepada kata-kata: “……..dan tidak ditambah atas bacaan tasyahud apa-apa”.

· “…..Tidak ditambah…..” merujuk kepada apa-apa doa selepas itu, yakni ia tidak dibaca dalam tasyahud awal.

· “…..atas bacaan tasyahud apa-apa” merujuk kepada bacaan tasyahud yang diajar oleh Rasulullah. Di sini, semua hadis baginda yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat adalah secara penuh tanpa ada selawat yang ringkas.

Oleh itu, kata-kata al-Tirmizi juga bukan hujah untuk membezakan antara selawat ringkas dan selawat penuh antara tasyahud awal dan tasyahud akhir.

Ketiga: Kata-kata Ibn al-Qayyim.

Kata-kata Ibn al-Qayim yang dinukil oleh al-Sayid Sabiq diambil daripada kitab Zaad al-Ma’ad (Muassasah al-Risalah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 198:

Tidak dinaqal bahawasanya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berselawat ke atas dirinya mahupun ke atas ahli keluarganya dalam tasyahud awal, dan tidak baginda meminta perlindungan padanya daripada azab kubur, azab neraka, fitnah kehidupan, fitnah kematian dan fitnah al-Masih al-Dajjal. Dan sesiapa yang menyunatkan (untuk membaca yang) sedemikian, maka sesungguhnya ia hanyalah daripada keumuman dan kemutlakan, sungguh yang jelas adalah tempatnya hanyalah pada tasyahud akhir.

Perhatian ditujukan kepada kata-kata beliau: “Tidak dinaqal (dinukil) bahawasanya Nabi……”. Kaedah usul fiqh menyatakan, apabila bertembung antara penafian dan penetapan, hendaklah diunggulkan penetapan. Ini kerana penafian adakalanya berlaku kerana ketidaktahuan atau sememangnya penetapan tersebut tidak memerlukan sebarang penafian.

Merujuk kepada kata-kata Ibn al-Qayyim di atas, beliau menafikan wujudnya apa-apa riwayat daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam di mana baginda berselawat atas dirinya dan ahli keluarganya dalam tasyahud awal. Bererti - mengikut ijtihad Ibn al-Qayyim – baginda langsung tidak membaca selawat pada tasyahud awal. Namun penafian Ibn al-Qayyim tetap perlu dianalisa berdasarkan kaedah usul fiqh di atas. Dalam bab ini kita ada hadis yang menetapkan bacaan tasyahud dan selawat secara penuh. Hadis-hadis ini tidak ada yang menerangkan bahawa dalam tasyahud awal bacaan selawat boleh dipisahkan. Maka apa yang ditetapkan oleh hadis-hadis yang sahih diunggulkan di atas penafian Ibn al-Qayyim. Ini kerana penafian beliau mungkin berakibat daripada ketidaktahuannya terhadap kewujudan riwayat tersebut.

Wujud kemungkinan kedua di mana dalam bab ini sememangnya tidak ada riwayat. Ini kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sememangnya tidak membezakan bacaan selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Apabila tidak wujud perbezaan, maka tidak perlu untuk para sahabat meriwayatkan sesuatu yang menerangkan perbezaannya. Di sini kaedah usul fiqh menyatakan, apabila terhadap sesuatu perkara tidak wujud riwayat yang menerangkan tentangnya, maka perkara tersebut dikembalikan kepada dalil yang paling dekat kepadanya. Dalam bab ini, dalil yang terdekat ialah hadis-hadis yang menerangkan bacaan tasyahud dan selawat secara lengkap tanpa membezakan antara tasyahud awal dan akhir.

Oleh itu sekali lagi, kata-kata Ibn al-Qayyim tidak dapat dijadikan hujah bahawa selawat pada duduk tasyahud awal hanya sekadar “Allahumma sholli ‘ala Muhammad” atau tidak perlu dibaca langsung.

Rumusan:

Demikian sedikit penelitian ke atas kata-kata al-Sayid Sabiq daripada kitabnya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah. Apabila al-Sayid Sabiq berkata: “Dan disunatkan untuk meringkaskannya padanya (bacaan & duduk tasyahud awal)…..” secara zahir beliau tidak bermaksud meringkaskan bacaan selawat kecuali apabila berhadapan dengan kata-kata Ibn al-Qayyim.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah (757H) adalah seorang tokoh yang memang amat luas ilmunya, anak murid kepada Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H). Beliau telah berijtihad dalam bab membezakan bacaan selawat antara tasyahud awal dan tasyahud akhir. Akan tetapi ini tidaklah bermakna kita tidak boleh menganalisa dan mengkaji apa yang beliau ijtihadkan. Kita menghormati dan menyayangi beliau, tetapi Allah dan Rasul-Nya lebih kita hormati dan sayangi.

[12] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 474 dengan sanad yang dinilai hasan oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami

Puasa : Perkara Yang Ditokok Tambah

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa

Tumpuan kita yang pertama kepada perkara yang ditokok tambah ialah hukum memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Contohnya:

1. Memasukkan pen ke dalam mulut membatalkan puasa.

2. Menelan air liur membatalkan puasa.

3. Mengorek telinga atau membersihkan telinga dengan cotton buds membatalkan puasa.

4. Mengorek hidung atau debu pasir yang masuk ke dalam hidung membatalkan puasa.

5. Membuang air besar tanpa meneran sepenuhnya agar najis keluar sekali gus membatalkan puasa.

Semua di atas dan pelbagai lagi yang seumpama adalah hukum yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:[12]



Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya.

Yang sebenarnya membatalkan puasa hanyalah tiga perkara iaitu bersetubuh, makan dan minum. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

“Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).” [al-Baqarah 2:187]

Makanan dan minuman yang membatalkan puasa terbahagi kepada dua kategori:

Pertama:

Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara hakiki kepada orang yang mengambilnya, sekali pun dalam jumlah yang sedikit.

Apa-apa makanan yang diambil secara sengaja dan sampai ke perut, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa minuman yang diambil secara sengaja dan melalui tenggorok, maka ia membatalkan puasa. Apa-apa zat makanan yang dimasukkan ke dalam darah melalui suntikan, umpama glukosa yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, ia juga membatalkan puasa.[13]

Maka dengan itu apa-apa benda, makanan atau minuman yang dimasukkan ke dalam rongga-rongga manusia, ia tidaklah membatalkan puasa. Contohnya, memasukkan pen ke dalam mulut, menggosok gigi, berkumur-kumur, membersihkan telinga, mengorek hidung, menggunakan ubat titisan mata, menyedut debu, peneranan yang tidak sempurna ketika membuang air besar dan pelbagai lagi, semua ini tidak membatalkan puasa.

Merasai makanan yang sedang dimasak tidak membatalkan puasa asalkan ia dikeluarkan semula. Baki makanan yang ditemui terselit di celah-celah gigi tidak membatalkan puasa asalkan ia tidak ditelan secara sengaja. Menelan air liur, sengaja atau tidak sengaja, juga tidak membatalkan puasa. Air liur tidak pernah dianggap di sisi manusia yang normal sebagai minuman. Seandainya air liur adalah sejenis minuman, nescaya tidak ada manusia yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir.

Demikian juga, mengambil suntikan insulin bagi pesakit kencing manis dan menggunakan alat melegakan pernafasan bagi pesakit asma, ia tidaklah membatalkan puasa.

Timbul persoalan, adakah menelan ubat tanpa disertai apa-apa minuman membatalkan puasa? Contohnya seorang berpuasa yang menghadapi pening kepala, lalu dia menelan dua biji Panadol. Adakah ini membatalkan puasa? Yang benar dia tidak perlu meneruskan puasanya kerana sakit yang dihadapinya adalah salah satu bentuk keuzuran yang membolehkan dia berbuka. Maka berbuka adalah lebih utama daripada menjerumuskan diri ke dalam sesuatu yang diperselisihkan hukumnya.


Kedua:

Sesuatu yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga secara psikologi sekali pun dalam jumlah yang sedikit. Ia bukanlah makanan dan minuman tetapi mengambilnya memberi kesan psikologi berupa kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu.

Contohnya ialah orang yang menghisap rokok. Asap rokok bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penghisap rokok, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap rokok membatalkan puasa. Akan tetapi bagi orang di sekitarnya yang terhisap asap rokok tersebut (secondary smoker), ia tidak membatalkan puasa kerana asap rokok tersebut bukanlah satu nikmat bagi diri mereka.

Tetap pada contoh asap, menyedut asap kenderaan di lalulintas yang sesak tidak dianggap membatalkan puasa. Ini kerana asap kenderaan bagi manusia yang norma, tanpa dibezakan dia penghisap rokok atau tidak, bukanlah suatu nikmat yang memuaskan.

Contoh lain ialah menghisap dadah atau mengambil dadah melalui suntikan. Dadah bukanlah makanan atau minuman tetapi bagi penagih dadah, ia adalah suatu nikmat umpama makanan yang memuaskan mereka. Maka menghisap atau menagih dadah membatalkan puasa.

Dalil bagi apa yang disebut dalam kategori kedua ini ialah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi):

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku.[14]

Yang dimaksudkan dengan meninggalkan kenikmatan bukanlah semua bentuk nikmat seperti tidur, mandi dan sebagainya. Akan tetapi ia adalah nikmat yang terhasil pada diri seseorang seumpama makan dan minum.

Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa dalam kebanyakan aktiviti seharian kita yang normal, tidak ada sesuatu yang menyebabkan terbatalnya puasa. Antara hikmah berpuasa adalah mendisiplinkan diri daripada bersetubuh, makan, minum dan sesuatu kenikmatan yang seumpama makan dan minum pada siang hari. Menokok tambah hukum bahawa kononnya memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa tidak ditemui dalilnya daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia juga tidak memiliki apa-apa peranan mahupun manfaat dari sudut hikmah disyari‘atkan berpuasa.

Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.[15]

Berdasarkan sabda Rasulullah “…kecuali jika kamu sedang berpuasa” mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu’ dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diluaskan kepada semua rongga tubuh badan berdasarkan analogi (qiyas).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.”[16]


2. Mewajibkan lafaz niat

Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk apa-apa ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar “Inilah puasa aku” atau “Inilah solat Zohor aku”. Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan untuk mengukuhkan lintasan hati. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.


3. Menetapkan waktu imsak

Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

“Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.” [al-Baqarah 2:187]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.”[17]

Dalam ayat dan hadis di atas, jelas bahawa dibolehkan untuk bersahur, yakni makan dan minum, sehingga jelas terbitnya fajar atau dilaungkan azan Subuh. Tidak wujud waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum waktu Subuh.

4. Menghukum makruh jika mandi ketika puasa

Antara hukum yang ditokok tambah ialah kononnya makruh untuk mandi pada petang hari ketika berpuasa. Yang benar hukumnya adalah sunnah kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menyiram air ke kepalanya kerana haus atau panas. Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan.[18]

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:[19]

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun.


5. Qadha dua kali apabila berbuka dalam puasa qadha

Termasuk hukum yang ditokok tambah adalah, jika seseorang itu sedang mengqadha puasa lalu dia membuka puasa tersebut sama ada kerana sengaja atau tidak, maka dia perlu mengqadha sebanyak dua puasa, yang pertama puasanya yang asal manakala yang kedua adalah puasa qadha yang dibukanya itu. Contoh, jika seorang muslimah sedang berpuasa untuk menqadha puasa Ramadhannya yang lalu, kemudian pada siang hari dia didatangi haid sehingga terpaksalah dia berbuka, maka kononnya dia diwajibkan qadha dua kali, pertama adalah mengqadha puasa Ramadhan yang lalu, kedua mengqadha puasa qadha yang dibukanya.

Yang benar muslimah tersebut hanya perlu mengqadha sekali, iaitu puasa Ramadhan yang lalu. Demikian juga, sesiapa yang membuka puasa qadhanya maka kewajipan dia hanya mengqadha sekali, iaitu puasa asal yang perlu diqadhanya. Ini kerana maksud “qadha” ialah melaksanakan suatu ibadah di luar waktunya dan kewajipan mengqadha hanyalah ke atas ibadah yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktunya yang asal. Tidak ada qadha ke atas ibadah yang sedang dilakukan di luar waktunya yang asal.


6. Membayar fidyah jika puasa qadha ditunda ke tahun seterusnya.

Sebahagian pendapat menyatakan, jika seseorang itu memiliki sejumlah puasa Ramadhan yang perlu diqadha, lalu dia tidak mengqadha dalam tahun tersebut sehingga menundanya ke tahun hadapan, dia wajib membayar fidyah sebagai denda di atas penundaan tersebut. Pembayaran fidyah ialah sekali makanan yang mengenyangkan mewakili setiap hari bagi setiap tahun yang ditunda. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat sebagaimana jelas Syaikh Yusuf al-Qaradhawi:[20]

Adapun jika penundaan puasa qadha terjadi tanpa keuzuran, maka ada keterangan daripada sejumlah sahabat yang mengatakan bahawa dia wajib memberi makan orang miskin (fidyah) setiap hari sebagai denda bagi penundaannya. Pendapat ini dipegang oleh Malik, al-Tsauri, al-Syafi‘e, Ahmad dan lain-lain.

Ada pendapat lain yang menyebut bahawa hal itu (penundaan puasa qadha) tidak menuntut apa pun selain qadha. Ini adalah pendapat al-Nakha‘e, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya serta dikuatkan oleh pengarang kitab al-Raudhah al-Nadiyah. Ini kerana tidak ada dalil apa jua tentang hal itu (penundaan puasa qadha) yang dapat disandarkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Jika ada sekali pun, paling kuat ia adalah kata-kata sekelompok sahabat. Tentu ini bukan hujah bagi seseorang kerana kita tidak boleh beribadah kepada Allah dengan hujah seseorang. Oleh itu kerana itu, hukum bagi hal ini (penundaan puasa qadha) adalah neutral dan dikembalikan kepada dasarnya (iaitu qadha sahaja tanpa fidyah). Tidak boleh menggunakan nukilan daripada kata-kata sahabat (dalam bab hukum-hakam) melainkan hadis (Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam) yang sahih.

Saya (Syaikh al-Qaradhawi) melihat bahawa mengambil dalil daripada kalangan sahabat hanyalah sekadar hal-hal yang sunat, bukan wajib. Adapun yang wajib, kita memerlukan nas dalil daripada yang maksum (yakni Rasulullah) dan ini tidak kita perolehi.

Oleh itu dalam persoalan ini, yang lebih mendekati kebenaran ialah tidak perlu membayar fidyah. Seseorang yang menunda puasa qadhanya ke tahun seterusnya hanya wajib mengqadha, tidak lebih dari itu.


7. Puasa dua dalam satu

Dalam sebahagian kitab fiqh disebut bahawa dibolehkan melaksanakan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Berdasarkan pendapat ini, merupakan satu kelaziman bagi sebahagian orang untuk melaksanakan kedua-dua puasa qadha dan puasa sunat Syawal dalam satu hari. Kebolehan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari adalah pendapat semata-mata dan sehingga kini tidak ditemui dalil yang membolehkannya daripada al-Qur’an mahupun al-Sunnah yang sahih.

Di sini perlu digariskan bahawa manhaj kita dalam beribadah ialah berhenti sehingga diperolehi dalil yang sahih lagi muktamad (qath‘e) yang mensyari‘atkannya. Kita sebagai hamba tidak tahu apa, bila dan bagaimana bentuk ibadah yang akan diterima dan diredhai oleh tuhan yang kita sembah, iaitu Allah 'Azza wa Jalla. Oleh itu kita hanya beribadah sekadar apa yang disyari‘atkan tanpa menambah atau mengubahsuainya. Pendapat manusia, sekalipun kita menghormati dan menyanjunginya, tidak boleh dijadikan hujah untuk menambah atau mengubahsuai sesuatu ibadah.

Justeru yang benar tidak ada amalan menggabungkan dua atau lebih puasa di dalam satu hari. Setiap puasa hendaklah dilaksanakan dalam harinya yang tertentu. Prof. Dr. Hasbi al-Shiddieqie rahimahullah menjelaskan:[21]

Kemudian hendaklah diketahui bahawa mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. Dalilnya ialah firman Allah: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.” (Maksud Surah al-Baiyinah 98:05).

Ikhlas yang dimaksudkan dalam firman Allah ini ialah mengikhlaskan amal ibadah yang disuruh dengan cara yang disuruh. Demikian menurut Imam Malik, al-Shafi‘e dan Abu Sulaiman. Kemudian perhatikanlah pula hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim daripada A'isyah radhiallahu 'anha bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan sesuatu amal yang tidak ada atasnya tuntutan (ajaran) kami, maka amalnya itu tertolak.

Maka sesiapa mencampur adukkan sesuatu amalan dengan amalan lain, bererti telah melakukan suatu amal yang tiada dilakukan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan tiada dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Kerana itu, amalan sebegini tidak diterima.

Tidak dinafikan bahawa amalan puasa “dua dalam satu” rancak disebut-sebut dalam akhbar, majalah, televisyen, radio, ceramah, kuliah, khutbah dan sebagainya. Tidak kurang juga, orang-orang yang menyebutnya adalah mereka yang masyhur dalam menyampaikan cerita-cerita agama. Akan tetapi jika dicermati analisa secara mendalam, akan didapati bahawa apa yang mereka sampaikan adalah pendapat semata-mata tanpa ada dalil yang sahih lagi muktamad yang mendukunginya.

Di sini penulis ingin menasihatkan para pembaca sekalian bahawa kebenaran agama tidak dinilai oleh kemasyhuran seseorang tetapi berdasarkan dalil dan hujah yang disampaikannya. Jika dalam pelbagai urusan duniawi kita semua menekankan nilai fakta dan penelitian, maka hendaklah penekanan yang sama kita praktikkan dalam menerima sesuatu ajaran agama.

Demikian beberapa perkara yang ditinggalkan dan yang ditokok tambah berkenaan amalan dan hukum puasa yang sempat dibicarakan dalam risalah ini. Perkara-perkara yang dibicarakan merupakan apa yang lazim ditanya dan dibincang bersama penulis dalam kuliah-kuliah dan soal-jawab e-mel. Pasti sahaja perkara-perkara ini tidak memiliki batas maksimumnya kerana selagi mana manusia ingin menjadikan agama sebagai permainan akalnya, selagi itulah akan muncul amalan dan hukum yang berjauhan daripada keaslian al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Nasihat penulis kepada para pembaca, jadikanlah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih sebagai tolok ukuran setiap ajaran yang diterima dan diamalkan. Jadikanlah ayat 59 surah al-Nisa’ yang dikemukakan di awal risalah ini sebagai manhaj utama dalam beragama.

_____________________________________

Nota Kaki:

[12] Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108

[13] Yang tepat, orang yang sakit sehingga tidak dapat makan dan minum seperti biasa tidak perlu berpuasa kerana keuzuran yang dihadapinya tidak mewajibkan dia berpuasa.

[14] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…)

[16] Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya – hadis no: 617 (Kitab Azan).

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).

[19] Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud (Dar al-Fikr, Beirut 1995), jld. 6, ms. 395.

[20] Fiqh al-Siyam, ms. 98.

[21] Pedoman Puasa (Thinker’s Library, Kuala Lumpur 1996), ms. 136-137.

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq