Followers

Wednesday, June 24, 2009

Catatan untuk sahabat di SMK Gadong.

Sahabatku,
Memang orang selalu cakap apa yang ada di depan mata selalu tak dihargai,dilupakan dan diremehkan.Dan memang orang juga selalu cakap bila kita kehilangan itu semua barulah kita rasa kecewa,duka lara, pedih dan sengsara. Dan memang semua itu sekarang terbeban atas bahu aku yang hampir patah ni.Dan aku sendiri macam hampir rebah menanggung rindu pada SMK GADONG dan terutamanya sekali kehidupan dulu. Aku teramat rindu pada arwah suami(selalu air mata akan menitis bila rindu ini datang),aku rindu pada rutin kehidupan bersama arwah di Beaufort.Aku rindu pada kawan kawan yang mesra dan memahami.Aku rindu pada anak anak muridku .Sesungguhnya aku amat rindu dan rindu ini hampir membunuh kebahagiaan aku disini.

Sahabatku,
Bukan menyalahkan takdir tapi jika diberi pilihan aku tidak mahu di sini dengan cara begini. Aku ingin di sini dengan anak dan suami bersama sama membina hidup baru di kampung.Aku ingin tinggalkan Beaufort dengan hati ringan dan penuh kerelaan.Aku ingin melambai kegirangan kepada sahabat semua bukan dengan linangan air mata kesedihan.Aku ingin tersenyum lebar dengan hati yang berbunga-bunga.Aku juga ingin sampai di kampung dengan senyuman megah kerana berjaya menabur bakti di negeri sendiri.Aku ingin membiarkan sahabat lain cemburu kerana aku berjaya pulang ke bumi kelahiran.Tapi itu semua hanya keinginanku yang tidak mungkin tercapai kerana kuasa Allah itu maha hebat.Allah ada perencanaannya yang mustahil untukku ketahui.

Sahabatku,
Kadang kala aku terfikir adakah tepat pilihan yang kubuat ini?Adakah pilihan ini membuahkan kebahagiaan kepadaku atau menambah penderitaan? Kehidupan di sini terasa semakin sukar.Kerinduan pada arwah bagai racun yang membinasakan hidupku.Air mata bagai tidak mahu berhenti. Hanya kerana malu dan segan aku lapkan air mata bila sampai di sekolah.Dan selebihnya aku menghabiskan hari dengan termenung dan bersedih. Entah bila kerinduan ini akan bertukar menjadi ubat dan penawar. Masa terlalu lambat berlalu kerana kata orang masa yang akan jadi pengubat segala penderitaan. Itu kata orang......

Sahabatku,
Tentu kamu semua ingin tahu keadaan sekolah baruku di sini.Alhamdulilah mereka menerimaku seadanya. Perbezaan memanglah terlalu banyak dan kalau ditulis senaskah buku pun tak siap.Hari pertama sampai aku memang kagum dengan kecantikan sekolah dan memang jauh benar bezanya dengan SMK Gadong yang serba kekurangan. Di sini segala kemudahan pelajaran bertambun.Segala modul pengajaran bersepah.Itulah antara kemurahan hati Jabatan Pendidikan Negeri yang sponsor segala buku rujukan dan pelbagai modul dari guru pakar.Alangkah bertuahnya pelajar di sini. Peraturan yang serba kemas menbuatkan dadaku sesak. Apatah lagi dengan sistem punch cardnya memang tidak boleh lagi datang atau balik sesuka hati. Nak keluar pun perlu bersurat itu dan ini.Nak ambil cuti hih tak payahlah.Kalau mesyuarat di luar mesti balik ke sekolah selagi belum habis waktu P&P.Ditambah pula dengan waktu P&Pnya yang sangat panjang dan melelahkan.Malah selepas waktu persekolahan ada lagi kelas tambahan, waktu gerko,mesyuarat,solat berjemaah,bacaan yasin dan sebagainya.Waktu pulang pukul tiga atau empat pekara biasa.Hari Sabtu diisi dengan pelbagai programseperti LADAP,PERKASA PMR,PERKASA SPM,SAGA dan entah apa lagi.Dalam seminggu rehatnya satu hari.Ya Tuhan sangat melelahkan fizikal dan juga mental.Guru-gurunya pula kalau di Gadong aku antara yang sudah veteran tapi di sini aku antara yang paling muda.Tentu kekok dan serba canggung untuk aku memulakan persahabatan dengan guru-guru yang ternyata kaya berpengalaman dan majoritinya DG44. Adus....inilah.tekanan pertama yang aku hadapi.

Sahabatku,
Kalau di Gadong aku seorang yang peramah dan periang tapi di sini aku menjadi pendiam dan hanya mampu tersenyum.Kadang kala tersasul juga loghat Sabahan.Takut juga dikatakan lupa asal usul.Malah aku masih berbahasa Sabahan di rumah kerana anak anak tidak faham loghat Terengganu. Perkataan”bah” masih lekat di lidah.Apa boleh buat arwah suami pun orang Sabah.

Sahabatku,
Di sini payah aku mencari kawan yang”veteran” tapi bergaya macam kak Rusta,Kak Mar dan kak Jubai.Mereka semua natural beauty tanpa lipstik di bibir. Bergaya simple sehingga aku takut pula sehingga aku rasa sudah tua berbanding usia.Mungkin kalau berjumpa dengan aku,semua kawan kawan akan terkejut.Nak cari kawan kawan sehati sejiwa macam Eni,Chik,Ina,Ha, Kak Hawa,Kak Chin,Aure dan lain lain tu rasanya macam tak jumpa.Jadi rindu sangat nak bercerita di kantin sampai ‘lupa daratan’.Cikgu-cikgu lelakinya pula alahai manala nak cari kacak macam si Kanthan,Puva,Pisol,Ust Amir Cg Saban dan Cg Manan.Apatah lagi yang hensem seperti Asri,Cg Musnin,Saipul,Haszami dan Cg Param.Ataupun manis macam Ustaz Ruslimi dan Ustaz Idham.Apatah lagi sentiasa smart macam cg Mahmud. Dan Cg Halim.Ataupun juga cute macam Benjamin, Fared dan cg Tukiman. Barulah aku tahu rupa-upanya cikgu cikgu lelaki di Gadong paling tampan di dunia. Aduhai rindunya aku dengan Beaufort.

Sahabatku.
Mungkin lepas ni aku bertambah rindu dengan kontrovesi yang selalu ada di Gadong. Di sini suasana ‘flat’, guru gurunya selalu sibuk mengusung fail ke sana sini. Sibuk dengan TOV,OTI1,OTI2 dan segala macam program di sekolah. Mereka profesional dan sentiasa penuh komitmen dalam tugas.Tak pernah aku mendengar mereka komplen atau merungut jika terpaksa pulang lambat atau terpaksa datang pada hari Sabtu. Apatah lagi guru lelaki dan perempuan dipisahkan di bilik berlainan. Mustahil dapat bergurau senda seperti dengan Fared yang suka’ mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Para pelajarnya pula, ya ampun.....Susahnya aku mengawal mereka.Seakan hilang semua kepakaran aku selama sepuluh tahun untuk membimbing mereka.Malah selalu aku menyeka air mata kerana sedih terpaksa mengharungi keahidupan sepayah begini. Dan di saat begini hati aku menangis terasa sangat betapa selesanya aku di Gadong.Dalam hati berkata kata jika arwah masih hidup aku tidak perlu berhadapan dengan kesukaran begini. Dan tentu pada waktu ini aku masih di Gadong dan berbahagia bersamanya dan bukannya memendam kesedihan setiap hari Ya Allah ampunkan diri ini yang sebegini lemah dalam menghadapi ujian-Mu.Ampunkan hamba –Mu yang mempersoalkan ketentuan takdir yang Engkau tuliskan.

Sahabat-sahabatku,
Payah benar aku meyesuaikan diri di sini.Aku menjadi serba canggung dan serba kekok.Aku menjadi pesimis dan buntu untuk membuat keputusan.Kehilangan suami benar benar menyebabkan aku hilang tempat bergantung. Jika selama ini dia akan menyelesaikan segala kekusutan yang aku alami. Dia dengan sabar mendengar segala masalah dan keluhan yang aku lontarkan.Ketiadaan dia menyebabkan dunia sekeliling aku turut mati.Tidak tahu kepada siapa lagi aku ingin mengadu keluh kesah.Tiada lagi orang yang sanggup membawa aku ke mana sahaja yang ingin aku pergi.Kehilangan ini menyebabkan aku jadi cemburu kebahagiaan orang lain kerana aku tidak mungkin menikmati lagi kebahagian seperti itu. Dan berbahagialah kamu semua kerana masih memiliki orang tersayang dan masih di Gadong.Bersyukurlah.....

Sahabatku semua,
Sampai di sini coretanku.Mudah mudahan dapat menghilangkan sedikit kerinduan pada masa lalu.Doakan dan titipkan kasih sayang kamu semua agar aku dapat bertahan disini.Salam kasih dan sayang dari kami sekeluarga.

3 comments:

  1. k.ani,ni kali kedua saya taip n hantar..yg 1st fail..k.ani banyakkan bersaBAr,selalu berdoa..dan solat tahjud @ hajat.Allah sentiasa mendengar doa hambanya yg benar2 ikhlas.doa setiap kali solat.insyaallh akan diberi ketenangan...hikmah disebaliknya kita tak tahu, ada kemanisan sebalik kepahitan yg Allah beri..doa sya agar k.ani tabah dan tidak berputus asa dengan takdir..amin..noor

    ReplyDelete
  2. saya tak sabar tunggu Part 2..

    ReplyDelete
  3. dan juga berharap dpt menggantikan kasih sayang sahabat2 saudari di sana dengan kasih sayang kami di sini ..

    ReplyDelete

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq