Followers

Tuesday, May 19, 2009

Smk Gadong, kasihku tertumpah disini..


Bismilahhirahmanirrahim,

Sangat berat untuk aku memulakan catatan ini kerana ini adalah catatan ucapan selamat tinggal setelah sekian lama berkhidmat di SMK Gadong Namun aku tahu saat begini akan tiba juga tapi sesungguhnya saat ini datang dalam keadaan yang tidak terduga sama sekali.
Sahabat sekalian,

Pertama kali aku datang ke Gadong tanpa perasaan apa-apa. Bukan jugak takut tidak diterima.Tidak juga terlalu teruja akan dipuja. Tapi tanpa sedar sudah lapan tahun aku di sini.Segala pahit manis, suka duka menjadi kenangan yang tidak mungkin aku dapat di tempat lain.

Sahabat sekalian,
Selama 8 tahun terlalu banyak peristiwa yang mendewasakan aku.Di sini juga aku serba sedikit terpalit dengan kontrovesi serta politik dalaman .Mungkin tahun-tahun terakhir ini kita selalu berprasangka,berpandangan negatif sesama sendiri,ada sedikit perasaan iri hati, busuk hati tetapi bersembunyi disebalik wajah profesional .

Sahabat-sahabatku,
28 April 2009 tanggal ini sebenarnya telah menyatukan kita semula. Tanpa sedar ki
ta, menzahirkan perasaan kita yang selama ini tersembunyi disebalik kesibukan duniawi. Dalam musibah yang menimpa ada hikmah yang tersembunyi. Ternyata besarnya kasih sayang sesama kita tanpa mengira agama dan keturunan, yang selama ini kita tidak menyedarinya atau sengaja melupakannya. Dan sesungguhnya aku sangat bertuah kerana ditempatkan di SMK Gadong yang tidak mungkin aku peroleh sahabat-sahabat sebaik anda semua walau di tempat kelahiranku sendiri.

Sahabatku,
Ujian Allah sangat berat untuk aku tempuhi . Tambahan pula seorang diri diperantauan jauh daripada sanak saudara. Menggigil dan gelap pandangan apabila aku dibawa berjumpa suami yang didepan mata hanya sekujur t
ubuh kaku di kamar mayat hospital, sedangkan sejam lepas masih aku terdengar suaranya menelefon bertanya khabar dan menyatakan rindu. Ya Allah terhenti rasanya seketika dunia dari berputar.Masih terbayang senyumnya,cintanya yang tidak pernah luntur, dalam kasihnya untuk kami. Namun cinta Allah lebih abadi. Janji Allah itu pasti.

Sahabatku,
Disaat sebegitu, kurnia Allah sangat besar. Anda semua hadir memberi bahu untuk disandar. Memberi tangan untuk memimpin. Ternyata aku tidak keseorangan menghadapi dugaan ini. Semua guru SMK Gadong (pelbagai kaum dan keturunan) berkumpul di kamar mayat memberi sokongan kepadaku sehingga menimbulkan perasaan hairan kaki tangan hospital . Arwah hanyalah pekerja biasa(pemandu lori) tetapi mempunyai rakan yang bertali leher dan berpakaian formal. Kasih sayang anda semua memberi kekuatan padaku.Jalan yang terasa gelap terbit sajalur cahaya kasih sayang anda yang menerangi. Sesungguhnya aku insan bertuah kerana dilimpahi kasih sayang yang melimpah ruah dari anda semua.

Sahabatku,

Berat hati ini meninggalkan SMK Gadong.Namun apalah daya, aku hanya insan kerdil di bumi Allah ini. Kenangan bersama arwah bagai filem yang berputar tanpa henti. Aku tidak mahu hanyut dalam kesedihan yang berpanjangan.Berikan aku ruang untuk bangkit kembali. Membina kekuatan sendiri, mendidik dan membesarkan anak-anak tanpa suami.

Sahabatku,
Jika anda seorang suami, jangan kedekut menzahirkan perasaan cinta pada isteri. Lafazkan berulangkali biar isterimu tersipu malu. Ucapkan rindumu walau dia didepan mata, kerana isteri memang fitrahnya ingin dipuji dan dimanja. Ringankan tanganmu untuk menolong kerja rumah yang tidak pernah habis. Sabarkan hatimu mendengar leterannya walau dirimu letih.


Sahabatku,
Jika anda bergelar isteri, layanlah suamimu seikhlas hati. Cintai dirinya seadanya. Banyakkan memberi bukan meminta. Hiaskan dirimu untuk dirinya. Sabarlah dirimu dengan hobinya. Fahamilah jiwanya,jagalah hartanya. Jangan kau rebut kasih pada ibu bapanya melebihi dirimu. Sesungguhnya kamu bertuah kerana masih ada suami yang sedia melindungimu dan menyintaimu sepanjang masa.

Sahabatku,
Jika anda masih berseorangan, jangan menolak jodoh jika dia insan biasa. Kebahagiaan bukan terletak pada pangkat atau harta. Jangan takut mendirikan rumah tangga hanya semakin berusia. Suami Siti Khadijah ternyata lebih muda.

Sahabat-sahabatku,
Tidakku tahu sama ada kasihkah sahabat baruku kepadaku nanti sebagaimana kasihnya kamu pada diriku. Kita boleh bergurau, berjenaka tanpa prasangka. Di tempat baru nanti, sudikah mereka menerima ku dengan status janda. Gelaran yang berat untukku pikul. (Tapi kamu semua tidak pernah peduli dengan itu semua) Kawan lelaki tentu menjauh takut diftnah. Kawan perempuan takut mendekat bimbang suami dirampas.

Sahabat-sahabatku,
Doakan diriku agar tabah dan menghadapi hari muka. Doakan anak anakku menjadi insan beragama. Sedekahkan al fatihah untuk arwah suamiku yang tercinta.

Sekian. SMK Gadong kasihku tertumpah.


Artikel ini dikirim oleh Cg Rohani (SMK Gadong, Beaufort) tanda terima kasih kepada warga Sekolah tersebut yang begitu prihatin. Kepada sesiapa yang ingin mengirim sebarang artikel untuk disiarkan, sila emelkan pada qamarulngah@gmail.com Artikel anda biarlah yang asli dari idea dan fikiran anda sendiri. Insyaallah saya akan post kan dalam blog ini. sertakan juga serba sedikit mengenai maklumat diri anda dan maklumat ini akan dirahsiakan, hanya nama pena anda akan saya siarkan.

untuk tinggalkan pesanan atau kata2 perangsang, anda boleh taibkan di kotak komen dibawah, jika tidak punyai profile, anda bleh gunakan anonymous di ruangan comment as... tapi jangan lupa letak nama pengenalan anda...


4 comments:

  1. aku pun turut nak ucap kat k.ani, k.ani kena kuatkan semangat demi anak2. Jugak aku ucapkan bbanyak terima kasih kat warga smk gadong, sokongan yang anda tunjukkan pada waktu2 sukar hari tu, moga tuhan membalas kebaikan ke atas anda semua. Jugak terimakasih kat warga guru bofot, ustaz2, imam,dan sesiapa je yang begitu baik hati menolong dan meringankan beban kami pada waktu itu. Sampai jumpa lagi....

    ReplyDelete
  2. buat k.ani,tahniah diucapkan kerana menjadi ibu yg tabah wlaupun pahit untuk kau harungi. setelah saya membaca artikel k.ani, banyak pengajaran yg saya perolehi.saya ingin menjadi isteri yg solehah..bimbing lah saya.(noor)

    ReplyDelete
  3. Salam kak ani. Semoga akak tabah menghadapi segala dugaan dan cabaran yang mendatang. Semoga terus maju jaya. Perkenalan dan pertemuan seketika bersama akak amat bermakna bagi kami warga baru di SMK Gadong. Keriangan akak, keringanan tangan akak untuk membantu kami yang baru bergelar pendidik amat kami hargai. Semoga kita akan bertemu lagi di lain masa. Selamat melaporkan diri di sekolah baru dan semoga kenangan abadi dari SMK Gadong selama hampir sedekad akan terus segar dalam ingatan..(Rosiadi Tajudin)

    ReplyDelete
  4. salam sejahtera buat k.ani dan anak2.allah saja yang dapat menolongmu.pohonlah segala kekuatan darinya.betapa saya bayangkan kiranya saya ditempatmu.terasa betapa hinanya saya pada suami yang saya cemburui selama ini berbanding diri k.ani.mungkin perkahwinan kita hampir seusia,namun k.ani lebih dewasa mengharungi gelora rumahtangga.jika ada petua atau nasihat yang boleh saya ambil dari k.ani,harapnya sudi dikongsi.
    aishah,senegeri.

    ReplyDelete

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq