Followers

Saturday, March 20, 2010

Cikgu Aman dalam kenangan

artikel dari kak Ani

Kata dia "tak tahu pulak abang saya mengajar di sekolah ni”
Aku terpinga-pinga memandang wajah dia dengan perasaan kosong. Dia tersengih dan tersenyum panjang.

Aku mengerut dahi.Masih tidak faham. Dia mengarahkan telunjuknya ke papan kenyataan. Di situ baru sahaja aku manampal senarai nama kehadiran guru ke mesyuarat untuk dibetulkan jika ada sebarang pembetulan.


Aku masih tidak faham dan semakin bingung, sedangkan tawanya mula kedengaran.
“Ini nama abang saya bukan nama saya” ketawanya terus meletus tanpa dapat ditahan lagi.
Aku turut mengetawakan diri sendiri.Hanya kerana tersalah taip namanya sudah bertukar menjadi individu lain.Dan individu tersebut adalah abangnya sendiri yang mengajar di sekolah berdekatan Namanya Aman bin Abas, tetapi tertaip Amin bin Abas.

Itulah cikgu Aman yang sentiasa periang dan suka bergurau. Senyum dan tawanya masih melekat di mataku. Sentiasa bersedia menolong dan tidak pernah mengecewakan apabila kita membawa harapan padanya.

Malah sewaktu kematian arwah suamiku dia antara sahabat yang paling banyak menolong. Ke hulu hilir dengan segala urusan seakan kami saudara terdekat. Dia banyak menenangkan aku, banyak meringankan beban aku.

Namun , minggu lepas aku menerima sms yang amat memeranjatkan. Berita yang menggoncang perasaan ku sehingga aku tidak mampu melelapkan mata sebaik menerima sms tersebut. Betapa berat aku menerima perkabaran tersebut sehingga air mata tertumpah tanpa disedari.
Kenangan di SMK Gadong mula berputar di kotak ingatanku.Teringat pada Kak Mar serta dua orang cahaya mata mereka. Ingin aku di sisi Kak Mar memeluk dan menenangkan dia. Hanya orang yang pernah mengalami kehilangan insan tersayang akan memahami detik memilukan sebegitu. Tiada kata kata yang mampu memulihkan perasaannya hanya doa dan sokongan dari rakan serta saudara yang dapat menguatkan semangatnya.

Kak Mar,
Tabahkan hati.Kerinduan akan menjadi racun jika kita tidak mampu menanganinya tetapi kerinduan akan jadi penawar yang mengindahkan hari hari kita. Perkahwinan adalah pertemuan sementara yang akan menjanjikan perpisahan , kematian akan menemukan kita lagi Insya Allah, abadi di akhirat kelak.

Bersyukurlah kita menjadi isteri yang dicintai sehingga akhir hayatnya.Yang tidak pernah menduakan kita, apatah menyakitkan hati dengan kehadiran orang ketiga.
Memang benar perpisahan itu sangat perit kerana suami adalah peneman serta orang yang mengenali kita melebihi ibu bapa kita sendiri.Sedewasa begini , ibu bapa tidak akan memandikan kita jika sakit terlantar di katil, tetapi suami tanpa kita rasa segan akan memapah dan memandikan serta memakaikan baju untuk isterinya .
Sedewasa begini, ibu bapa tidak akan mengurut belakang jika terasa penat dan lelah.
Sedewasa begini ibu dan bapa tidak lagi memujuk jika muka masam mencuka atau bersedih hiba.

Dan sedewasa begini, tidak lagi kita sanggup membebankan ibu bapa mendengar keluh kesah dan rawan hiba hati kita.

Kerana itu semua ,hanya suami yang akan melakukan untuk kita, isterinya. Namun itu semua tiada lagi. Kita seakan kehilangan sebahagian dari diri kita.Dan dunia seakan membiarkan kita seorang diri, terumbang ambing dan menangis tanpa henti.

Kak Mar,
Kuatkanlah semangat, tabahkanlah hati.Hari hari yang bakal dilalui akan terasa sangat panjang dan melelahkan.Pandanglah dua cahaya mata yang ditinggalkan, kerana di situ ada dia yang akan memandang kita melalui mata anak anaknya, yang akan sentiasa menyayangi kita sebagaimana anak anak menyayangi kita.Laluilah hidup ini dengan senyuman kerana dia sentiasa bersama kita sepanjang masa. Tetap hidup di hati kita selama lamanya.

AL –FATIHAH UNTUK ARWAH CIKGU AMAN.SAHABAT YANG SANGAT DISENANGI.Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihiNYA.

1 comment:

  1. Al-Fatihah, tersyahdu pulak membaca tulisan kak ani,...Hanya Allah Jua Yang Maha Mengetahui, terima kasih atas bingkisan ini ianya sangat terkesan di hati-umisofwa

    ReplyDelete

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq