Followers
Sunday, September 20, 2009
Duit raya...Budaya Siapa?
“Ya lah, tadi sembahyang raya pukul 9 pagi, sekarang dah pukul 11 pagi”
Kamal melihat jam, ternyata sekarang pukul sebelas lima minit pagi. Kamal bertambah hairan. Namun yang menyebabkan dia bertambah hairan bukanlah pukul berapa sekarang tetapi bagaimana anak bongsunya yang berumur 5 tahun boleh membaca waktu.
“Nantilah petang-petang sikit kita ke rumah jiran-jiran, ke rumah Pak Ngah, kemudian ke rumah Tok Cik. OK?. Sekarang Asyraf pergi main luar” sambil menunjuk kepada abang dan kakaknya, Nur Haziq yang berumur 11 tahun dan Nur Izan yang berumur 8 tahun yang sedang duduk di bawah pokok rambutan depan rumah.
”
“Alaa ayah, abang dan kakak yang suruh Asyraf ajak ayah ke rumah Tok Cik. Rumah-rumah lain esok-esok pun tak apa”
“Mengapa tiba-tiba semua nak ke rumah Tok Cik? Jamal dan Ida mana?” tanya Kamal, merujuk kepada anak-anak Pak Su, adiknya.
“Mereka semua dah pergi ke rumah Tok Cik. Alaa ayah ni, jom la.
“Ada apa kat rumah Tok Cik yang kamu semua semangat sangat nak pergi ni?”
Nur Asyraf menundukkan mukanya sambil terus duduk di riba ayahnya. Maklumlah anak bongsu yang manja kepada ayahnya.
“Tok Cik…..Tok Cik bagi duit raya.”
“Kan tadi balik sembahyang atuk dah bagi, ayah dan Pak Su kamu pun dah bagi?”
“Tadi tuu….sikit... warna hijau aje. Tok Cik….Tok Cik bagi duit warna merah, dua keping…..”
“Ohh! Rupa-rupanya kamu semua ni nak ke rumah Tok Cik sebab duit raya ya?”
“Yalah ayah, duit rayalah. Nak himpun banyak-banyak. Asyraf suka Hari Raya sebab dapat himpun duit banyak-banyak.”
Apa yang diminta oleh anak-anak Kamal adalah satu perkara yang lazim berlaku pada 1 Syawal setiap tahun. Kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa duit raya telah menjadi salah satu “syiar” sambutan Hari Raya di kalangan kita semua. Dalam artikel yang ringkas ini, penulis ingin mengajak para pembaca, khasnya ibubapa, untuk merenung, memikir dan menganalisa sebentar fenomena ini.
Budaya Siapa?
Tolong betulkan jika salah, sekadar yang penulis tahu, amalan memberi duit raya sempena Hari Raya bukanlah daripada ajaran Islam. Duit raya adalah budaya kaum Cina yang lazim mereka amalkan sempena sambutan Tahun Baru Cina. Budaya ini akhirnya telah membudaya di kalangan umat Islam di Malaysia sehingga dianggap sebahagian daripada “syiar” sambutan 1 Syawal. Pada waktu yang sama, “syiar” Islam yang asal dalam menyambut 1 Syawal telah diketepikan atau diberi prioriti yang ke bawah.
Apa salahnya, bukankah ia sesuatu yang baik?
Soalan di atas mungkin sedang berlegar di fikiran sebahagian ibubapa saat ini. Namun, benarkah ia sesuatu yang benar-benar baik? Terdapat dua faktor penting yang sama-sama dapat kita jadikan sumber pertimbangan:
Pertama:
Saling memberi hadiah memang merupakan sesuatu yang dianjurkan oleh Islam. Memberi hadiah dapat menjinakkan hati, menutup permusuhan dan menghubungkan silaturahim. Akan tetapi semua ini dengan syarat, hadiah tersebut diberi dengan ikhlas sekadar mampu.
Adakah memberi duit raya termasuk hadiah yang ikhlas dan sekadar mampu? Sila perhatikan poin-poin berikut:
a) Sebahagian ibubapa memberi duit raya kerana membalas tindakan ibubapa lain yang memberi duit raya kepada anak mereka. Hal ini saling berlaku antara ibubapa. Dalam kisah keluarga Kamal di atas, Kamal akan memberi duit raya kepada anak-anak Pak Su kerana Pak Su telah memberi kepada anak-anaknya duit raya. Pak Su juga memberi duit raya kepada anak-anak Kamal kerana dia tahu Kamal juga akan beri kepada anak-anaknya. Jika Kamal tidak memberi duit raya, dibimbangi Pak Su akan kecil hati atau mungkin lebih berat daripada itu. Maka sedar atau tidak, tindakan saling memberi duit raya tidak lahir kerana keikhlasan tetapi kerana keterpaksaan.
b) Kadar duit raya yang diberikan lazimnya diukur berdasarkan kadar duit raya yang diterima. Jika Pak Su memberi anak-anak Kamal lima ringgit setiap seorang, Kamal juga akan memberi anak-anak Pak Su lima ringgit setiap seorang. Jika jiran memberi anak-anak Kamal seringgit setiap seorang, Kamal juga akan memberi anak-anak jiran tersebut seringgit setiap seorang. Jika diberi lebih, katakan lima atau sepuluh ringgit setiap seorang, dibimbangi jiran tidak mampu untuk membalas dengan kadar yang sama pada tahun depan sehingga dia akan rasa serba salah. Bahkan lebih buruk, mungkin jiran akan terasa bahawa Kamal ingin menunjuk dengan kadar duit raya yang agak tinggi tersebut. Sama-sama kita ketahui bahawa keikhlasan dalam memberi ialah ia tidak diukur dengan apa-apa skala yang telah ditetapkan. Jika pemberian adalah berdasarkan skala ukuran tertentu, maka ia mencemari keikhlasan pemberian tersebut.
c) Dalam suasana masa kini, kadar duit raya tidak lagi sekadar wang logam tetapi wang kertas. Tidak dapat tidak, hal ini akan memberatkan ibubapa yang perlu mengeluarkan wang untuk disediakan sebagai duit raya. Belanjawan untuk duit raya juga bukan sekadar seratus ringgit, tetapi jauh lebih banyak kerana perlu “dihadiahkan” kepada anak-anak buah, anak-anak jiran, anak-anak rakan dan sebagainya. Belanjawan duit raya juga berkadar terus dengan skala pendapatan ibubapa. Jika ibubapa bekerjaya lumayan, secara automatis dijangkakan bahawa mereka akan memberi duit raya yang banyak juga. Selain itu, sama ada bekerjaya lumayan atau sederhana, duit raya sedikit sebanyak memiliki peranan dalam menambah bebanan belanjawan setiap ibubapa.
d) Ibubapa bukan sahaja perlu mengeluarkan wang, tetapi juga beratur panjang untuk mendapatkan wang tersebut dalam kertas yang baru dengan pecahan yang betul. Berapa ramai di antara para ibubapa yang sebelum ini perlu beratur panjang di bank? Bukan sekadar itu, setelah hampir sejam beratur, apabila sampai giliran di kaunter, pecahan yang diingini telah kehabisan. Maka terpaksalah beratur di bank lain atau datang semula esok-lusa. Sementara beratur dan kembali beratur, kerja di pejabat terabai. Ajaran Islam menegaskan, tidak boleh melakukan amal yang sunat dengan mengabaikan amal yang wajib. Memberi duit raya sebagai hadiah yang ikhlas adalah amalan sunat tetapi kerja di pejabat adalah amanah yang wajib.
Empat poin di atas insya-Allah akan dapat membantu menjawab persoalan sama ada duit raya adalah satu hadiah yang ikhlas dan berdasarkan kemampuan. Penulis yakin setiap ibubapa yang berlainan akan memberikan jawapan yang berlainan. Yang penting, harap jawapan itu adalah ikhlas untuk diri sendiri.
Perkara lain yang ingin penulis tekankan, empat poin di atas tidak berlaku untuk semua ibubapa. Penulis akur bahawa memang terdapat ibubapa yang memberikan duit raya secara ikhlas tanpa terkesan langsung dengan empat poin di atas. Oleh itu harapnya tidak wujud salah faham bahawa penulis mengkategorikan semua ibubapa dalam kumpulan yang sama.
Kedua:
Kebaikan duit raya benar-benar akan berubah menjadi keburukan jika ibubapa benar-benar memikirkan natijah yang sedang atau bakal menimpa anak-anak mereka sendiri. Sedar atau tidak, duit raya mendidik anak-anak menjadi seseorang yang materialistik. Mereka bergembira untuk menyambut 1 Syawal tetapi kegembiraan itu lebih tertumpu kepada duit raya yang bakal diperolehi. Mereka bergembira untuk balik kampung namun di celah-celah kegembiraan tersebut terselit faktor “duit raya”. Mereka memilih rumah mana yang patut diziarah terlebih dahulu berdasarkan kadar duit raya yang bakal diperolehi. Mereka memilih kasih di antara ahli keluarga dan sanak saudara berdasarkan jumlah duit raya yang diberikan.
Malah sebahagian anak-anak ada yang memberitahu ibubapa mereka bahawa mereka akan keluar berhari raya dengan rakan-rakan. Akan tetapi yang benar mereka bukan berhari raya tetapi menjadi peminta sedekah. Mereka bersama rakan-rakan pergi dari rumah ke rumah sambil melaungkan “Assalamu‘alaikuuuum!” Yang diharapkan bukanlah sekadar “Wa‘alaikumussalam” tetapi diiringi sampul yang memiliki duit raya di dalamnya.
Jika begitu, anak-anak nak berhari raya dengan apa?
Penulis berharap soalan di atas tidak timbul daripada kalangan ibubapa yang budiman sekalian. Jika ia timbul, maka jelas bahawa duit raya benar-benar telah menenggelamkan “syiar” Islam yang terkandung dalam sambutan 1 Syawal. Sudah tiba masanya ibubapa memikirkan tindak tanduk mereka selama ini dalam bab sambutan 1 Syawal dan kaitannya dengan duit raya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment