Followers

Saturday, November 6, 2010

Setelah setahun....


.......dengan izin Allah, aku mampu menulis lagi.

Hujan di luar sangat lebat. Air mengalir di mana-mana. Bumi pun basah. Pertama sekali singgah di fikiran ku.... pusara ayah pun turut basah... tentu banyak daun-daun pokok yang luruh dan menutupi pusara ayah. Siapakah yang mengutip daun –daun tersebut. Dan air mata akan perlahan-lahan mengalir di pipi. Kalau dulu waktu hujan begini, ayah akan mengumpul kami anak beranak. Bertapa dalam bilik. Kadang kadang berselimut kami berempat kesejukkan. Tapi selalu amiro menolak kerana tak suka dipeluk.. Dia akan bawa bersama patung mainan ultraman serta raksasa dalam selimut.Dan bergaduh bersama ayahnya yang selalu mengambil mainan dia. Atau pun kami berdua akan minum kopi bersama. Selalu dia akan minta goreng cucur bilis. Kemudian dia ulang kali menjengok ke halaman belakang.. takut -takut air banjir masuk kedalam rumah. Begitulah beaufort yang mudah banjir apabila hujan lebat. Atau pun bila hujan mula berhenti,kami semua anak beranak.. berjalan kaki mengharung air,.bermain air baniir di halaman rumah.


Diluar sana hujan makin lebat....
Guruh yang berdentum menyedarkan aku dari lamunan yang panjang. Namun pengalaman banyak mengajar aku untuk tidak terus dihanyut oleh perasaan.... Masa mendidik aku untuk terus kuat dan tabah. Sahabat sekeliling banyak membantu serta sanggup berkongsi bahu untuk menggalas beban. Terima kasih sahabat baru... terasa mula terbit pelangi disebalik mendung tebal yang membungkus hidupku
Jika ditarikh ini, setahun yang lalu, airmataku juga bagaikan hujan dimusim tengkujuh....setiap masa gugur tanpa dapat diduga... dan Alhamdullilah, Allah memberikan aku kekuatan pada tahun ini, ditarikh sebegini untuk kuat dan mampu senyum pada yang memandang...... betapa aku syukuri ketabahan yang Allah kurniakan kini.
Sahabat semua, samada sahabat lama di Sabah dan juga sahabat baru di SMKSM.... betapa bersyukurnya aku memiliki kalian....
Eni,
Terima kasih kerana setia menemani kak ani disaat arwah pergi..dan sentiasa bersama kak ani disaat kak ani serba kalut, canggung dan bingung. Kamu sentiasa member kekuatan pada kak ani. Terima kasih yang tak terhingga kerana disudut hati ini tidak pernah melupakan kamu disaat bertemu pertama kali sehinggalah berada jauh begini.
Ina,
Terimakasih kerana budi baikmu...sanggup bersusah payah sewaktu kak ani bertandang ke Sabah baru-baru ini. Tiada perkataan yang mampu kak ani tuliskan betapa kak ani menghargainya. Terimakasih pada kamu suami isteri yang baik hati dari dulu,kini dan semoga selamanya.
Chiek,
Betapa kak ani kehilangan sahabat yang mampu bercerita segalanya tanpa perlu berselindung. Kehilangan yang menambah lagi rawannya hati ini. Betapa kak ani kagum melihat kesungguhan kamu suami isteri memperkasakan Tingkatan enam. Dan hasilnya STPM kita sentiasa menjadi kebanggaan sekolah. Betapa kak ani rindu untuk melihat kamu berdua dan bergelak ketawa dengan pelbagai cerita . Tak mungkin ada gabungan team work seperti mana yang pernah kita lakukan dahulu...kerinduan yang tak mungkin dapat diulang lagi.
Kak Hawa,kak Rusta dan kak Jubai,
Senior dan orang BESAR sekolah. Terima kasih atas tunjuk ajar kakak kakak semua..... Kontrovesi, spekulasi, rumours yang mewarnai sekolah......fenomena yang jarang terdapat disini dan aku menjadi rindu untuk itu semua.... tapi kita semua sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain... Terima kasih atas sokongan terutama sewaktu musibah yang menimpa kami sekeluarga tempoh hari.... kami sangat sangat menghargainya.
Kak Chin, Ha dan semua warga SEMEGA.
Sesungguhnya sudah habis perbendaharaan kata yang mampu aku zahirkan untuk menjelaskan betapa sayangnya aku pada kamu semua. Betapa aku kehilangan kamu semua, betapa aku rindu saat-saat kita bersama dahulu. Jutaan terima kasih kepada kamu semua yang berlainan bangsa dan agama tapi menyayangi diri ini tanpa sempadan. Betapa bertuahnya diri ini kerana disayangi oleh begitu ramai orang.
Sahabat-sahabat baru,
Sikapku yang menolak dan menjauh menyebabkan sukar aku menjalin sebarang ikatan persahabatan. Kemurungan dan kecelaruaan perasaan menyebabkan ramai yang segan utuk mendekat. Sebenarnya, aku masih tercari-cari diriku yang sebenar.... siapa aku.. sebenarnya aku ini bagaimana.... periangkah aku... seorang pemarah atau... bagaimana. Sungguh satu keadaan yang sangat sukar untuk aku hadapi... Aku takut untuk memulakan persahabatan dengan rakan perempuan kerana takut nanti dituduh menjadi perampas suami orang. Terlalu jumud fikiranku. Aku benar benar bimbang jika kehadiran aku disalah ertikan. Aku juga takut menjalin persahabatan dengan rakan lelaki kerana takut menjadi fitnah orang sekeliling. Namun ada juga... antara mereka ....yang ikhlas .. cuba menghulur kan persahabatan tapi dalam keadaan serba kekok. Aku tidak salahkan mereka kerana status yang aku bawa ini akan menyebabkan sebuah persahabatan akan menjadi serba canggung.
Dalam keadaan begitu tak kurang juga yang bersikap kurang ajar dan bermulut celupar... bukan salah aku jika aku memikul status ini.. dan bukan keinginanku untuk dijadikan bahan guruan para lelaki. Ramai yang takut memulakan bicara denganku hanya kerana takut statusku ini dijadikan bahan gossip. Wahai para lelaki di luar sana bersikap matanglah kerana anda tentu tidak mahu isteri anda pada suatu hari nanti menerima nasib sepertiku dan tentu anda sedih di SANA jika isteri anda diperlakukan sebegitu.... hormatilah perasaan orang seperti kami.
Akhirnya setelah hampir setahun.....aku mampu untuk tersenyum.. Wajahku mula ceria. dan sahabat-sahabat mula mendekati. Sikapku yang tertutup benar-benar menghalau mereka untuk mengenaliku. Syukurlah aku mula dapat menerima kenyataan bahawa aku masih berada di bumi nyata kerana selama setahun jiwaku pergi bersama dia.....
Alhamdulilah. Keadaanku mula pulih.. berkat doa saudara mara dan sahabat handai. Aku semakin dapat menyesuaikan diri walau dalam keadaan serba payah. Antaranya sukar aku membezakan siapa sahabat siapa pula gunting dalam lipatan dan siapa pula hanya mengambil kesempatan. Mungkin sikapku yang lurus menyebabkan aku selalu jadi mangsa.. Ramai manusia ibarat kata peribahasa telunjuk lurus kelingking berkait.
Setelah setahun.. akhirnya aku memiliki sahabat yang sudi mendengar segala keluh kesahku. Sahabat yang bersedia menemani di kala berduka dan paling penting sahabat yang sedia menghulur tangan membantu apa saja. Betapa bersyukurnya aku kerana aku memiliki sahabat seperti Shidah dan Kak kam. Dan betapa aku sangat menyayangi mereka......
Shidah,
Antara guru yang tidak segan menegur dan menyapa walau diri ini masih terlalu baru di SMKSM. Bersikap tertutup dan seakan tidak mesra. Jarang bercakap apatah lagi tersenyum, tapi entah kenapa antara kami seakan ada chemistry yang mendekatkan kami. Betapa syukurnya aku kerana ditemukan dengan dia yang sangat mengambil berat tentang kami sekeluarga. Sewaktu amiro berada di hospital dialah saudara yang menghantar juadah berbuka untukku. Dengan linangan air mata , azan maghrib yang berkumandang ku gagahkan diri berbuka puasa. Dan tentunya dia tidak pernah tahu betapa aku sangat-sangat menghargai pertolongannya suami isteri. Betapa aku bersyukur diketemukan dengan dia suami isteri yang bagai saudara kandung sendiri.
Syidah,
Kita sama sama diuji tuhan. Ujian tuhan itu dalam pelbagai bentuk. Mungkin kerana itu kita saling memahami antara satu sama lain. Terasa saling dekat antara satu sama lain. Percayalah ada hikmah disebalik dugaan ini.
Kak kamsiah,
Entah macam mana kita boleh menjadi rapat. Bila mendengar akak ketawa terasa terbang segala gundah di hati. Prihatin dan simpati yang akak berikan sangat sangat saya hargai. Menjadi tempat untuk saya meluahkan segala apa yang terbuku di hati. akak menjadi tempat saya merujuk segala kekusutan yang tak mampu saya selesaikan. Terima kasih kak kam, dan mungkin akak tidak pernah tahu betapa saya sangat menghargai itu semua..

Sahabat-sahabat baruku,
Terimakasih juga pada kak Iza yang membuat aku selalu ketawa. Terima kasih pada kak yah yang sarat dengan simpati dan selalu member i dorongan dan semangat. Terima kasih juga pada kak rosemazi, yang selalu mempertahankan aku dan member kekuatan pada jiwa yang rapuh ini. Terima kasih juga pada Ina, Ziha dan sahabat-sahabat yang lain.Tidakku sangka diberi peluang lagi untuk mengenali insan sebaik kalian semua.
Terimakasih pada semuanya .Semoga ada pelangi selepas gerhana......dan aku tidak pernah mempersoalkan kenapa nasibku begini kerana aku tahu aku sedang diuji yang menandakan aku diberi perhatian olehNYA.

No comments:

Post a Comment

Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq