Followers
Tuesday, January 5, 2010
Coretan sebuah rindu....
Tiba-tiba Amirul menangis tersedu-sedu.Hiba dan menyentuh hati.Dari bibir kecilnya terungkap kata kata yang cukup menyentuh perasaan.
“Umi, saya mahu ayah....ayah, kenapa ayah mati. Saya mahu ayah. Saya rindu ayah.ayah... ayah.....!!!”
Aku seakan ingin menangis bersamanya. Ingin meluahkan perasaan seperti mana dia. Aku juga sangat merindui ayah. Rindu yang amat sangat. Maha sarat. Namun aku harus kuat. Kuat demi dua orang zuriat yang ditinggalkan.
“Adik jangan menangis ok. Walau ayah sudah mati, tapi ayah tetap ada di hati adik” perlahan-lahan aku usap dadanya. Meyakinkan dia ayahnya tetap disitu.Sentiasa bersama dia. Sampai bila bila.
Aku tahu dia sangat merindui kasih sayang seorang ayah, apatah lagi melihat kemesraan Adi dan Ayah dalam rancangan televisyen di depannya .Tentu dia mengimbau kenangan sewaktu bersama ayah. Apa boleh buat anakku.Semuanya kuasa Tuhan. Kita tak mampu dan tidak berdaya. Pasti ada hikmah di sebalik ini semua.Tabahlah anakku.
Pernah amirul cakap “Umi, jomlah kita balik Sabah, entah-entah ayah sudah hidup” Begitu naif pemikiran anak sekecil dia. Dan betapa tinggi harapan dia ingin melihat ayahnya semula. Dalam situasi begini, aku harus bijak menyusun kata. Memahamkan dia betapa ayahnya sudah tiada dan tidak akan bersamanya lagi.
“Ayah sekarang di syurga nak, kat Sabah cuma kuburnya sahaja.nanti kalau ada rezeki lebih kita akan ziarah kubur ayah ye nak” Dan bermacam macam soalan akan keluar dari mulutnya, dan aku akan cuba menjawab memenuhi perasaan ingin tahunya.
Secara jujur, aku tidak pernah menganggap ayah sudah tiada.Cuma dia pergi jauh, ke satu tempat dimana kami akan bertemu semula.Perpisahan ini adalah satu penantian untuk bertemu semula.Insya Allah.
Pemergian ayah adalah sesuatu yang tidak terduga.Apatah lagi untuk aku bersedia.Dia pergi di saat kami sangat berbahagia.Di saat kami tengah merancang masa depan.Di saat anak-anak tengah membesar. Apatah lagi sejam sebelum kemalangan, kami masih sempat berbual di telefon.Bertanya khabar dan bercerita.
Kadangkala pemergiannya seakan baru sahaja semalam berlaku. Dan kadang kala sudah berlaku berabad abad lamanya. Minda aku seakan segulung filem yang terbelit belit. Memori bersamanya datang silih berganti. Kadang kala aku tidak percaya dia sudah tiada. Senyumnya, tawanya, suaranya masih berlegar legar didepan mataku. Malah masih banyak perkara yang ingin kami lakukan bersama. Aku ingin menjadi isteri terbaik untuknya. Aku ingin membahagiakannya.Dan aku selalu tertanya tanya, berbahagiakah dia bersamaku. Sudah cukupkah layananku padanya.Lembutkah tutur bicaraku. Tenangkah hatinya ketika bersamaku.Enakkah masakanku? Namun semuanya sudah terlambat. Pertanyaan pertanyaan itu tidak akan mungkin terjawab. Lumrah manusia, sewaktu masih ada disisi kita lupa untuk menghargainya, bila sudah tiada kita ingin memberinya yang terbaik. Wahai isteri di luar sana, bersyukurlah kamu kerana tidak terlambat untuk mewarnai rumah tangga dengan warna warna pelangi.
Aku cuba menguatkan semangat. Alhamdulilah, aku mampu bangkit semula. Tidak mahu terus hanyut dalam kesedihan. Kekuatan ini hanya kerana untuk membesarkan anak-anakku.Tanpa mereka aku pun tidak tahu bagaimana hidupku. Terumbang ambing bagai layang layang terputus tali.
Namun kehidupan sebagai ibu tunggal, banyak dugaannya. Selalu jadi perhatian dan mangsa tohmahan. Kadangkala pandangan masyarakat selalu negatif.Menganggap golongan seperti kami sentiasa terintai intai suami orang untuk dijadikan pengganti. Dulu sewaktu berstatus isteri, situasi aku sangat selamat. Tidak ada orang syak wasangka, tidak ada mulut untuk bergosip.Tapi sekarang, komunikasi aku sangat terbatas. Banyak mata melihat, banyak mulut yang tak mampu ditutup.Pernah aku menangis, hanya kerana cuba dipasangkan dengan seorang duda.Kata mereka, baguslah tu, duda bertemu janda dan hilaian panjang ketawa mereka. Seakan satu gurauan yang sangat membahagiakan mereka. Tidakkah mereka terfikir suatu hari mereka juga akan menjadi duda dan isteri mereka akan menjadi janda. Langsung tidak mempunyai rasa hormat dan simpati. Dan aku terfikir, jika ayah masih hidup, aku tidak perlu menanggung ini semua. Dan kekuatanku kembali zero. Rindu itu seakan mengigit-gigit tangkai hatiku. Pedih,ngilu, sakit dan perih.
Namun, tidak akan ada seorangpun akan memahami dan aku tidak cuba untuk menagih simpati.Biarlah mereka merasakan perkara sebegitu seperti lawak jenaka, kerana sesiapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasai pedihnya gurauan sebegitu. Aku cuba kuatkan semangat, kuatkan hati. Ini hanya permulaan dan aku tahu banyak lagi cabaran dan dugaan yang bakal aku hadapi. Cuma pada Tuhan aku memohon agar memberi aku ketabahan.Tidak semua orang akan diduga sehebat begini. Dan aku harus redha dan yakin segalanya ada hikmat yang tersembunyi.Kerana mereka yang tidak berdepan dengan kematian mereka tidak cuba untuk ketahui sebagaimana pesanan roh yang akan pergi “ anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka, isteriku telah menjadi balu dan janganlah menganiayanya” Dan mereka tidak pernah ingin tahu tentang itu, seakan mereka tidak akan mengalami saat kematian.
Ingin juga aku kabarkan pada semua, belum terlintas untuk aku mencari pengganti arwah.Bukan pula aku menidakkan jodoh dari Ilahi. Hanya kerana Cintanya masih berbekas dihatiku. Dia suami terbaik untukku, yang dapat menerima diriku sebagimana adanya, yang memahami dan sentiasa menyokongku dalam setiap perkara. Adakah aku insan yang sangat bertuah untuk menerima cinta sebegitu lagi. Dan rasanya sukar untuk aku mencari seperti dia.Apatah mampu menyayangi anak anakku sepenuh hati. Biarlah aku sendiri. Insyaallah aku mampu berdikari membesarkan anak-anak walau tanpa kasih seorang ayah. Aku tahu kasih seorang ayah tetap bersemadi dalam hati mereka.Tiada duanya.........
Ayah,
Semoga ayah tenang di sana.Setiap malam umi tidak pernah lupa mengingatkan anak-anak untuk mendoakan ayah .Kasih sayang kami selamanya untuk ayah , dunia dan akhirat.
Ya, Allah, ampunilah segala dosa kami, cucurilah rahmat ke atas roh suamiku.Lapangkan kuburnya,ampunkan dosanya.
Al- Fatihah untuk arwah suamiku dan untuk orang-orang mukmin yang pergi terlebih dahulu. Semoga dilapangkan dan dijauhkan azab kubur. Ditempatkan di tempat yang tenteram dan aman. Kita yang bakal mengikuti, perbanyakkan amal kerana itu sahaja peneman di sana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
SABAR LA KAK ANI. APA YANG BERLAKU TETAP ADA HIKMAHNYA YANG TERSENDIRI. PERCAYALAH KEBAHAGIAAN TETAP MENANTI KAK ANI. YANG PENTING ANAK-ANAK MENDOAKAN ARWAH. KERANA ITU LEBIH AFDAL
ReplyDeleteDARI KAK JUBAI,
ReplyDeleteHARAP ANI BERSABAR DENGAN DUGAAN KERANA TIDAK SEMUA ORANG BOLEH MENYELAMI HATI ORANG YANG DITINGGALKAN. SEMOGA BERBAHAGIA DENGAN ANAK-ANAK
sabarlah cikgu. saya serta pelajar2 yang lain sentiasa mendoakan roh arwah termasuk dalam golongan orang2 yang beriman. amin. kita sama2 mendoakan.
ReplyDeleteSABAR JE CIKGU..KITA SAMA2 MENDOAKAN ROH ARWAH DITEMPAT BERSAMA DENGAN ORANG-ORANG BERIMAN....AMIN...AL-FATIHAH..
ReplyDelete