Followers

Showing posts with label artikel dari Kak Ani. Show all posts
Showing posts with label artikel dari Kak Ani. Show all posts

Saturday, November 6, 2010

Setelah setahun....


.......dengan izin Allah, aku mampu menulis lagi.

Hujan di luar sangat lebat. Air mengalir di mana-mana. Bumi pun basah. Pertama sekali singgah di fikiran ku.... pusara ayah pun turut basah... tentu banyak daun-daun pokok yang luruh dan menutupi pusara ayah. Siapakah yang mengutip daun –daun tersebut. Dan air mata akan perlahan-lahan mengalir di pipi. Kalau dulu waktu hujan begini, ayah akan mengumpul kami anak beranak. Bertapa dalam bilik. Kadang kadang berselimut kami berempat kesejukkan. Tapi selalu amiro menolak kerana tak suka dipeluk.. Dia akan bawa bersama patung mainan ultraman serta raksasa dalam selimut.Dan bergaduh bersama ayahnya yang selalu mengambil mainan dia. Atau pun kami berdua akan minum kopi bersama. Selalu dia akan minta goreng cucur bilis. Kemudian dia ulang kali menjengok ke halaman belakang.. takut -takut air banjir masuk kedalam rumah. Begitulah beaufort yang mudah banjir apabila hujan lebat. Atau pun bila hujan mula berhenti,kami semua anak beranak.. berjalan kaki mengharung air,.bermain air baniir di halaman rumah.


Diluar sana hujan makin lebat....
Guruh yang berdentum menyedarkan aku dari lamunan yang panjang. Namun pengalaman banyak mengajar aku untuk tidak terus dihanyut oleh perasaan.... Masa mendidik aku untuk terus kuat dan tabah. Sahabat sekeliling banyak membantu serta sanggup berkongsi bahu untuk menggalas beban. Terima kasih sahabat baru... terasa mula terbit pelangi disebalik mendung tebal yang membungkus hidupku
Jika ditarikh ini, setahun yang lalu, airmataku juga bagaikan hujan dimusim tengkujuh....setiap masa gugur tanpa dapat diduga... dan Alhamdullilah, Allah memberikan aku kekuatan pada tahun ini, ditarikh sebegini untuk kuat dan mampu senyum pada yang memandang...... betapa aku syukuri ketabahan yang Allah kurniakan kini.
Sahabat semua, samada sahabat lama di Sabah dan juga sahabat baru di SMKSM.... betapa bersyukurnya aku memiliki kalian....
Eni,
Terima kasih kerana setia menemani kak ani disaat arwah pergi..dan sentiasa bersama kak ani disaat kak ani serba kalut, canggung dan bingung. Kamu sentiasa member kekuatan pada kak ani. Terima kasih yang tak terhingga kerana disudut hati ini tidak pernah melupakan kamu disaat bertemu pertama kali sehinggalah berada jauh begini.
Ina,
Terimakasih kerana budi baikmu...sanggup bersusah payah sewaktu kak ani bertandang ke Sabah baru-baru ini. Tiada perkataan yang mampu kak ani tuliskan betapa kak ani menghargainya. Terimakasih pada kamu suami isteri yang baik hati dari dulu,kini dan semoga selamanya.
Chiek,
Betapa kak ani kehilangan sahabat yang mampu bercerita segalanya tanpa perlu berselindung. Kehilangan yang menambah lagi rawannya hati ini. Betapa kak ani kagum melihat kesungguhan kamu suami isteri memperkasakan Tingkatan enam. Dan hasilnya STPM kita sentiasa menjadi kebanggaan sekolah. Betapa kak ani rindu untuk melihat kamu berdua dan bergelak ketawa dengan pelbagai cerita . Tak mungkin ada gabungan team work seperti mana yang pernah kita lakukan dahulu...kerinduan yang tak mungkin dapat diulang lagi.
Kak Hawa,kak Rusta dan kak Jubai,
Senior dan orang BESAR sekolah. Terima kasih atas tunjuk ajar kakak kakak semua..... Kontrovesi, spekulasi, rumours yang mewarnai sekolah......fenomena yang jarang terdapat disini dan aku menjadi rindu untuk itu semua.... tapi kita semua sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain... Terima kasih atas sokongan terutama sewaktu musibah yang menimpa kami sekeluarga tempoh hari.... kami sangat sangat menghargainya.
Kak Chin, Ha dan semua warga SEMEGA.
Sesungguhnya sudah habis perbendaharaan kata yang mampu aku zahirkan untuk menjelaskan betapa sayangnya aku pada kamu semua. Betapa aku kehilangan kamu semua, betapa aku rindu saat-saat kita bersama dahulu. Jutaan terima kasih kepada kamu semua yang berlainan bangsa dan agama tapi menyayangi diri ini tanpa sempadan. Betapa bertuahnya diri ini kerana disayangi oleh begitu ramai orang.
Sahabat-sahabat baru,
Sikapku yang menolak dan menjauh menyebabkan sukar aku menjalin sebarang ikatan persahabatan. Kemurungan dan kecelaruaan perasaan menyebabkan ramai yang segan utuk mendekat. Sebenarnya, aku masih tercari-cari diriku yang sebenar.... siapa aku.. sebenarnya aku ini bagaimana.... periangkah aku... seorang pemarah atau... bagaimana. Sungguh satu keadaan yang sangat sukar untuk aku hadapi... Aku takut untuk memulakan persahabatan dengan rakan perempuan kerana takut nanti dituduh menjadi perampas suami orang. Terlalu jumud fikiranku. Aku benar benar bimbang jika kehadiran aku disalah ertikan. Aku juga takut menjalin persahabatan dengan rakan lelaki kerana takut menjadi fitnah orang sekeliling. Namun ada juga... antara mereka ....yang ikhlas .. cuba menghulur kan persahabatan tapi dalam keadaan serba kekok. Aku tidak salahkan mereka kerana status yang aku bawa ini akan menyebabkan sebuah persahabatan akan menjadi serba canggung.
Dalam keadaan begitu tak kurang juga yang bersikap kurang ajar dan bermulut celupar... bukan salah aku jika aku memikul status ini.. dan bukan keinginanku untuk dijadikan bahan guruan para lelaki. Ramai yang takut memulakan bicara denganku hanya kerana takut statusku ini dijadikan bahan gossip. Wahai para lelaki di luar sana bersikap matanglah kerana anda tentu tidak mahu isteri anda pada suatu hari nanti menerima nasib sepertiku dan tentu anda sedih di SANA jika isteri anda diperlakukan sebegitu.... hormatilah perasaan orang seperti kami.
Akhirnya setelah hampir setahun.....aku mampu untuk tersenyum.. Wajahku mula ceria. dan sahabat-sahabat mula mendekati. Sikapku yang tertutup benar-benar menghalau mereka untuk mengenaliku. Syukurlah aku mula dapat menerima kenyataan bahawa aku masih berada di bumi nyata kerana selama setahun jiwaku pergi bersama dia.....
Alhamdulilah. Keadaanku mula pulih.. berkat doa saudara mara dan sahabat handai. Aku semakin dapat menyesuaikan diri walau dalam keadaan serba payah. Antaranya sukar aku membezakan siapa sahabat siapa pula gunting dalam lipatan dan siapa pula hanya mengambil kesempatan. Mungkin sikapku yang lurus menyebabkan aku selalu jadi mangsa.. Ramai manusia ibarat kata peribahasa telunjuk lurus kelingking berkait.
Setelah setahun.. akhirnya aku memiliki sahabat yang sudi mendengar segala keluh kesahku. Sahabat yang bersedia menemani di kala berduka dan paling penting sahabat yang sedia menghulur tangan membantu apa saja. Betapa bersyukurnya aku kerana aku memiliki sahabat seperti Shidah dan Kak kam. Dan betapa aku sangat menyayangi mereka......
Shidah,
Antara guru yang tidak segan menegur dan menyapa walau diri ini masih terlalu baru di SMKSM. Bersikap tertutup dan seakan tidak mesra. Jarang bercakap apatah lagi tersenyum, tapi entah kenapa antara kami seakan ada chemistry yang mendekatkan kami. Betapa syukurnya aku kerana ditemukan dengan dia yang sangat mengambil berat tentang kami sekeluarga. Sewaktu amiro berada di hospital dialah saudara yang menghantar juadah berbuka untukku. Dengan linangan air mata , azan maghrib yang berkumandang ku gagahkan diri berbuka puasa. Dan tentunya dia tidak pernah tahu betapa aku sangat-sangat menghargai pertolongannya suami isteri. Betapa aku bersyukur diketemukan dengan dia suami isteri yang bagai saudara kandung sendiri.
Syidah,
Kita sama sama diuji tuhan. Ujian tuhan itu dalam pelbagai bentuk. Mungkin kerana itu kita saling memahami antara satu sama lain. Terasa saling dekat antara satu sama lain. Percayalah ada hikmah disebalik dugaan ini.
Kak kamsiah,
Entah macam mana kita boleh menjadi rapat. Bila mendengar akak ketawa terasa terbang segala gundah di hati. Prihatin dan simpati yang akak berikan sangat sangat saya hargai. Menjadi tempat untuk saya meluahkan segala apa yang terbuku di hati. akak menjadi tempat saya merujuk segala kekusutan yang tak mampu saya selesaikan. Terima kasih kak kam, dan mungkin akak tidak pernah tahu betapa saya sangat menghargai itu semua..

Sahabat-sahabat baruku,
Terimakasih juga pada kak Iza yang membuat aku selalu ketawa. Terima kasih pada kak yah yang sarat dengan simpati dan selalu member i dorongan dan semangat. Terima kasih juga pada kak rosemazi, yang selalu mempertahankan aku dan member kekuatan pada jiwa yang rapuh ini. Terima kasih juga pada Ina, Ziha dan sahabat-sahabat yang lain.Tidakku sangka diberi peluang lagi untuk mengenali insan sebaik kalian semua.
Terimakasih pada semuanya .Semoga ada pelangi selepas gerhana......dan aku tidak pernah mempersoalkan kenapa nasibku begini kerana aku tahu aku sedang diuji yang menandakan aku diberi perhatian olehNYA.

Saturday, March 20, 2010

Cikgu Aman dalam kenangan

artikel dari kak Ani

Kata dia "tak tahu pulak abang saya mengajar di sekolah ni”
Aku terpinga-pinga memandang wajah dia dengan perasaan kosong. Dia tersengih dan tersenyum panjang.

Aku mengerut dahi.Masih tidak faham. Dia mengarahkan telunjuknya ke papan kenyataan. Di situ baru sahaja aku manampal senarai nama kehadiran guru ke mesyuarat untuk dibetulkan jika ada sebarang pembetulan.


Aku masih tidak faham dan semakin bingung, sedangkan tawanya mula kedengaran.
“Ini nama abang saya bukan nama saya” ketawanya terus meletus tanpa dapat ditahan lagi.
Aku turut mengetawakan diri sendiri.Hanya kerana tersalah taip namanya sudah bertukar menjadi individu lain.Dan individu tersebut adalah abangnya sendiri yang mengajar di sekolah berdekatan Namanya Aman bin Abas, tetapi tertaip Amin bin Abas.

Itulah cikgu Aman yang sentiasa periang dan suka bergurau. Senyum dan tawanya masih melekat di mataku. Sentiasa bersedia menolong dan tidak pernah mengecewakan apabila kita membawa harapan padanya.

Malah sewaktu kematian arwah suamiku dia antara sahabat yang paling banyak menolong. Ke hulu hilir dengan segala urusan seakan kami saudara terdekat. Dia banyak menenangkan aku, banyak meringankan beban aku.

Namun , minggu lepas aku menerima sms yang amat memeranjatkan. Berita yang menggoncang perasaan ku sehingga aku tidak mampu melelapkan mata sebaik menerima sms tersebut. Betapa berat aku menerima perkabaran tersebut sehingga air mata tertumpah tanpa disedari.
Kenangan di SMK Gadong mula berputar di kotak ingatanku.Teringat pada Kak Mar serta dua orang cahaya mata mereka. Ingin aku di sisi Kak Mar memeluk dan menenangkan dia. Hanya orang yang pernah mengalami kehilangan insan tersayang akan memahami detik memilukan sebegitu. Tiada kata kata yang mampu memulihkan perasaannya hanya doa dan sokongan dari rakan serta saudara yang dapat menguatkan semangatnya.

Kak Mar,
Tabahkan hati.Kerinduan akan menjadi racun jika kita tidak mampu menanganinya tetapi kerinduan akan jadi penawar yang mengindahkan hari hari kita. Perkahwinan adalah pertemuan sementara yang akan menjanjikan perpisahan , kematian akan menemukan kita lagi Insya Allah, abadi di akhirat kelak.

Bersyukurlah kita menjadi isteri yang dicintai sehingga akhir hayatnya.Yang tidak pernah menduakan kita, apatah menyakitkan hati dengan kehadiran orang ketiga.
Memang benar perpisahan itu sangat perit kerana suami adalah peneman serta orang yang mengenali kita melebihi ibu bapa kita sendiri.Sedewasa begini , ibu bapa tidak akan memandikan kita jika sakit terlantar di katil, tetapi suami tanpa kita rasa segan akan memapah dan memandikan serta memakaikan baju untuk isterinya .
Sedewasa begini, ibu bapa tidak akan mengurut belakang jika terasa penat dan lelah.
Sedewasa begini ibu dan bapa tidak lagi memujuk jika muka masam mencuka atau bersedih hiba.

Dan sedewasa begini, tidak lagi kita sanggup membebankan ibu bapa mendengar keluh kesah dan rawan hiba hati kita.

Kerana itu semua ,hanya suami yang akan melakukan untuk kita, isterinya. Namun itu semua tiada lagi. Kita seakan kehilangan sebahagian dari diri kita.Dan dunia seakan membiarkan kita seorang diri, terumbang ambing dan menangis tanpa henti.

Kak Mar,
Kuatkanlah semangat, tabahkanlah hati.Hari hari yang bakal dilalui akan terasa sangat panjang dan melelahkan.Pandanglah dua cahaya mata yang ditinggalkan, kerana di situ ada dia yang akan memandang kita melalui mata anak anaknya, yang akan sentiasa menyayangi kita sebagaimana anak anak menyayangi kita.Laluilah hidup ini dengan senyuman kerana dia sentiasa bersama kita sepanjang masa. Tetap hidup di hati kita selama lamanya.

AL –FATIHAH UNTUK ARWAH CIKGU AMAN.SAHABAT YANG SANGAT DISENANGI.Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang dikasihiNYA.

Tuesday, January 5, 2010

Coretan sebuah rindu....


Tiba-tiba Amirul menangis tersedu-sedu.Hiba dan menyentuh hati.Dari bibir kecilnya terungkap kata kata yang cukup menyentuh perasaan.

“Umi, saya mahu ayah....ayah, kenapa ayah mati. Saya mahu ayah. Saya rindu ayah.ayah... ayah.....!!!”

Aku seakan ingin menangis bersamanya. Ingin meluahkan perasaan seperti mana dia. Aku juga sangat merindui ayah. Rindu yang amat sangat. Maha sarat. Namun aku harus kuat. Kuat demi dua orang zuriat yang ditinggalkan.

“Adik jangan menangis ok. Walau ayah sudah mati, tapi ayah tetap ada di hati adik” perlahan-lahan aku usap dadanya. Meyakinkan dia ayahnya tetap disitu.Sentiasa bersama dia. Sampai bila bila.

Aku tahu dia sangat merindui kasih sayang seorang ayah, apatah lagi melihat kemesraan Adi dan Ayah dalam rancangan televisyen di depannya .Tentu dia mengimbau kenangan sewaktu bersama ayah. Apa boleh buat anakku.Semuanya kuasa Tuhan. Kita tak mampu dan tidak berdaya. Pasti ada hikmah di sebalik ini semua.Tabahlah anakku.

Pernah amirul cakap “Umi, jomlah kita balik Sabah, entah-entah ayah sudah hidup” Begitu naif pemikiran anak sekecil dia. Dan betapa tinggi harapan dia ingin melihat ayahnya semula. Dalam situasi begini, aku harus bijak menyusun kata. Memahamkan dia betapa ayahnya sudah tiada dan tidak akan bersamanya lagi.

“Ayah sekarang di syurga nak, kat Sabah cuma kuburnya sahaja.nanti kalau ada rezeki lebih kita akan ziarah kubur ayah ye nak” Dan bermacam macam soalan akan keluar dari mulutnya, dan aku akan cuba menjawab memenuhi perasaan ingin tahunya.

Secara jujur, aku tidak pernah menganggap ayah sudah tiada.Cuma dia pergi jauh, ke satu tempat dimana kami akan bertemu semula.Perpisahan ini adalah satu penantian untuk bertemu semula.Insya Allah.

Pemergian ayah adalah sesuatu yang tidak terduga.Apatah lagi untuk aku bersedia.Dia pergi di saat kami sangat berbahagia.Di saat kami tengah merancang masa depan.Di saat anak-anak tengah membesar. Apatah lagi sejam sebelum kemalangan, kami masih sempat berbual di telefon.Bertanya khabar dan bercerita.

Kadangkala pemergiannya seakan baru sahaja semalam berlaku. Dan kadang kala sudah berlaku berabad abad lamanya. Minda aku seakan segulung filem yang terbelit belit. Memori bersamanya datang silih berganti. Kadang kala aku tidak percaya dia sudah tiada. Senyumnya, tawanya, suaranya masih berlegar legar didepan mataku. Malah masih banyak perkara yang ingin kami lakukan bersama. Aku ingin menjadi isteri terbaik untuknya. Aku ingin membahagiakannya.Dan aku selalu tertanya tanya, berbahagiakah dia bersamaku. Sudah cukupkah layananku padanya.Lembutkah tutur bicaraku. Tenangkah hatinya ketika bersamaku.Enakkah masakanku? Namun semuanya sudah terlambat. Pertanyaan pertanyaan itu tidak akan mungkin terjawab. Lumrah manusia, sewaktu masih ada disisi kita lupa untuk menghargainya, bila sudah tiada kita ingin memberinya yang terbaik. Wahai isteri di luar sana, bersyukurlah kamu kerana tidak terlambat untuk mewarnai rumah tangga dengan warna warna pelangi.

Aku cuba menguatkan semangat. Alhamdulilah, aku mampu bangkit semula. Tidak mahu terus hanyut dalam kesedihan. Kekuatan ini hanya kerana untuk membesarkan anak-anakku.Tanpa mereka aku pun tidak tahu bagaimana hidupku. Terumbang ambing bagai layang layang terputus tali.

Namun kehidupan sebagai ibu tunggal, banyak dugaannya. Selalu jadi perhatian dan mangsa tohmahan. Kadangkala pandangan masyarakat selalu negatif.Menganggap golongan seperti kami sentiasa terintai intai suami orang untuk dijadikan pengganti. Dulu sewaktu berstatus isteri, situasi aku sangat selamat. Tidak ada orang syak wasangka, tidak ada mulut untuk bergosip.Tapi sekarang, komunikasi aku sangat terbatas. Banyak mata melihat, banyak mulut yang tak mampu ditutup.Pernah aku menangis, hanya kerana cuba dipasangkan dengan seorang duda.Kata mereka, baguslah tu, duda bertemu janda dan hilaian panjang ketawa mereka. Seakan satu gurauan yang sangat membahagiakan mereka. Tidakkah mereka terfikir suatu hari mereka juga akan menjadi duda dan isteri mereka akan menjadi janda. Langsung tidak mempunyai rasa hormat dan simpati. Dan aku terfikir, jika ayah masih hidup, aku tidak perlu menanggung ini semua. Dan kekuatanku kembali zero. Rindu itu seakan mengigit-gigit tangkai hatiku. Pedih,ngilu, sakit dan perih.

Namun, tidak akan ada seorangpun akan memahami dan aku tidak cuba untuk menagih simpati.Biarlah mereka merasakan perkara sebegitu seperti lawak jenaka, kerana sesiapa yang tidak mengalaminya tidak akan merasai pedihnya gurauan sebegitu. Aku cuba kuatkan semangat, kuatkan hati. Ini hanya permulaan dan aku tahu banyak lagi cabaran dan dugaan yang bakal aku hadapi. Cuma pada Tuhan aku memohon agar memberi aku ketabahan.Tidak semua orang akan diduga sehebat begini. Dan aku harus redha dan yakin segalanya ada hikmat yang tersembunyi.Kerana mereka yang tidak berdepan dengan kematian mereka tidak cuba untuk ketahui sebagaimana pesanan roh yang akan pergi “ anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka, isteriku telah menjadi balu dan janganlah menganiayanya” Dan mereka tidak pernah ingin tahu tentang itu, seakan mereka tidak akan mengalami saat kematian.

Ingin juga aku kabarkan pada semua, belum terlintas untuk aku mencari pengganti arwah.Bukan pula aku menidakkan jodoh dari Ilahi. Hanya kerana Cintanya masih berbekas dihatiku. Dia suami terbaik untukku, yang dapat menerima diriku sebagimana adanya, yang memahami dan sentiasa menyokongku dalam setiap perkara. Adakah aku insan yang sangat bertuah untuk menerima cinta sebegitu lagi. Dan rasanya sukar untuk aku mencari seperti dia.Apatah mampu menyayangi anak anakku sepenuh hati. Biarlah aku sendiri. Insyaallah aku mampu berdikari membesarkan anak-anak walau tanpa kasih seorang ayah. Aku tahu kasih seorang ayah tetap bersemadi dalam hati mereka.Tiada duanya.........

Ayah,
Semoga ayah tenang di sana.Setiap malam umi tidak pernah lupa mengingatkan anak-anak untuk mendoakan ayah .Kasih sayang kami selamanya untuk ayah , dunia dan akhirat.
Ya, Allah, ampunilah segala dosa kami, cucurilah rahmat ke atas roh suamiku.Lapangkan kuburnya,ampunkan dosanya.

Al- Fatihah untuk arwah suamiku dan untuk orang-orang mukmin yang pergi terlebih dahulu. Semoga dilapangkan dan dijauhkan azab kubur. Ditempatkan di tempat yang tenteram dan aman. Kita yang bakal mengikuti, perbanyakkan amal kerana itu sahaja peneman di sana.


Friday, August 28, 2009

Ramadhan terakhir


Kata ayah "sedih dan sayu rasa hati ”
Kata umi "besok raya, kenapa ayah sedih sangat?”
Kata ayah lagi "Sebab Ramadhan sudah pergi, bulan penuh keberkatan, bulan penuh pengampunan. Amal ibadat saya masih kurang dan kalau boleh saya mahu beribadat lagi banyak-banyak"

Umi nampak ayah termenung panjang. Umi tolong sendukkan nasi untuk ayah. Entah apa dalam hati ayah, hanya Tuhan yang tahu.

“Entah masih ada Ramadan untuk saya lagi tahun hadapan” suara ayah sayu. Umi hanya ketawa kecil”entah apa apa lah ayah ni.makanlah dah sejuk nasi ayah ni.

Ternyata kekhuatiran ayah menjadi kenyataan. Tahun lepas adalah terakhir Ramadhan untuk ayah. Umi cuba mengusap air mata, tidak mahu emak nampak atau siapa saja nampak. Biarlah pada pandangan mereka umi seorang yang tabah, seorang yang kuat. Biarlah hati ini luluh dan hancur berderai. Biarlah…..

Selalunya , di petang Ramadhan begini umi akan ke bazaar, cari air kelapa atau air tebu untuk ayah. Hanya itu saja minuman kegemaran ayah untuk berbuka puasa. Makanannya pula simple aje. Sebiji atau dua biji kuih cukuplah, yang penting ada kurma. Ayah tidak suka makanan di bazaar. Kata ayah cukuplah apa yang umi masak. Kadang tu cucur bilis atau cekodok pisang pun dah memandai. Ayah tak cerewet tentang makan. Lepas terawih barulah ayah makan berat. Umi akan masak lauk kegemaran ayah, apa lagi kerapu Samrod atau sup ikan. Biasalah orang Sabah mesti ada sup.Sup sayur pun jadi.

Arghh.. kalau dikenang air mata akan semakin laju mengalir

Betapanya bertuahnya mereka di luar sana menyambut Aidulfitri bersama keluarga yang sempurna. Entah bagaimana kami anak beranak menyambut Aidilfitri tahun ini. Ya Allah tabahlah hatiku, bahagiakan hati anak anakku di pagi Aidilfitri . Cucurilah rahmat ke atas roh suami ku. Tempatkan dia adalam kalangan orang yang Kau kasihi.Amin.

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI UNTUK SAHABAT SEMUA. AMPUN DAN MAAF DARIPADA KAMI SEKELUARGA.


Wednesday, June 24, 2009

Catatan untuk sahabat di SMK Gadong.

Sahabatku,
Memang orang selalu cakap apa yang ada di depan mata selalu tak dihargai,dilupakan dan diremehkan.Dan memang orang juga selalu cakap bila kita kehilangan itu semua barulah kita rasa kecewa,duka lara, pedih dan sengsara. Dan memang semua itu sekarang terbeban atas bahu aku yang hampir patah ni.Dan aku sendiri macam hampir rebah menanggung rindu pada SMK GADONG dan terutamanya sekali kehidupan dulu. Aku teramat rindu pada arwah suami(selalu air mata akan menitis bila rindu ini datang),aku rindu pada rutin kehidupan bersama arwah di Beaufort.Aku rindu pada kawan kawan yang mesra dan memahami.Aku rindu pada anak anak muridku .Sesungguhnya aku amat rindu dan rindu ini hampir membunuh kebahagiaan aku disini.

Sahabatku,
Bukan menyalahkan takdir tapi jika diberi pilihan aku tidak mahu di sini dengan cara begini. Aku ingin di sini dengan anak dan suami bersama sama membina hidup baru di kampung.Aku ingin tinggalkan Beaufort dengan hati ringan dan penuh kerelaan.Aku ingin melambai kegirangan kepada sahabat semua bukan dengan linangan air mata kesedihan.Aku ingin tersenyum lebar dengan hati yang berbunga-bunga.Aku juga ingin sampai di kampung dengan senyuman megah kerana berjaya menabur bakti di negeri sendiri.Aku ingin membiarkan sahabat lain cemburu kerana aku berjaya pulang ke bumi kelahiran.Tapi itu semua hanya keinginanku yang tidak mungkin tercapai kerana kuasa Allah itu maha hebat.Allah ada perencanaannya yang mustahil untukku ketahui.

Sahabatku,
Kadang kala aku terfikir adakah tepat pilihan yang kubuat ini?Adakah pilihan ini membuahkan kebahagiaan kepadaku atau menambah penderitaan? Kehidupan di sini terasa semakin sukar.Kerinduan pada arwah bagai racun yang membinasakan hidupku.Air mata bagai tidak mahu berhenti. Hanya kerana malu dan segan aku lapkan air mata bila sampai di sekolah.Dan selebihnya aku menghabiskan hari dengan termenung dan bersedih. Entah bila kerinduan ini akan bertukar menjadi ubat dan penawar. Masa terlalu lambat berlalu kerana kata orang masa yang akan jadi pengubat segala penderitaan. Itu kata orang......

Sahabatku,
Tentu kamu semua ingin tahu keadaan sekolah baruku di sini.Alhamdulilah mereka menerimaku seadanya. Perbezaan memanglah terlalu banyak dan kalau ditulis senaskah buku pun tak siap.Hari pertama sampai aku memang kagum dengan kecantikan sekolah dan memang jauh benar bezanya dengan SMK Gadong yang serba kekurangan. Di sini segala kemudahan pelajaran bertambun.Segala modul pengajaran bersepah.Itulah antara kemurahan hati Jabatan Pendidikan Negeri yang sponsor segala buku rujukan dan pelbagai modul dari guru pakar.Alangkah bertuahnya pelajar di sini. Peraturan yang serba kemas menbuatkan dadaku sesak. Apatah lagi dengan sistem punch cardnya memang tidak boleh lagi datang atau balik sesuka hati. Nak keluar pun perlu bersurat itu dan ini.Nak ambil cuti hih tak payahlah.Kalau mesyuarat di luar mesti balik ke sekolah selagi belum habis waktu P&P.Ditambah pula dengan waktu P&Pnya yang sangat panjang dan melelahkan.Malah selepas waktu persekolahan ada lagi kelas tambahan, waktu gerko,mesyuarat,solat berjemaah,bacaan yasin dan sebagainya.Waktu pulang pukul tiga atau empat pekara biasa.Hari Sabtu diisi dengan pelbagai programseperti LADAP,PERKASA PMR,PERKASA SPM,SAGA dan entah apa lagi.Dalam seminggu rehatnya satu hari.Ya Tuhan sangat melelahkan fizikal dan juga mental.Guru-gurunya pula kalau di Gadong aku antara yang sudah veteran tapi di sini aku antara yang paling muda.Tentu kekok dan serba canggung untuk aku memulakan persahabatan dengan guru-guru yang ternyata kaya berpengalaman dan majoritinya DG44. Adus....inilah.tekanan pertama yang aku hadapi.

Sahabatku,
Kalau di Gadong aku seorang yang peramah dan periang tapi di sini aku menjadi pendiam dan hanya mampu tersenyum.Kadang kala tersasul juga loghat Sabahan.Takut juga dikatakan lupa asal usul.Malah aku masih berbahasa Sabahan di rumah kerana anak anak tidak faham loghat Terengganu. Perkataan”bah” masih lekat di lidah.Apa boleh buat arwah suami pun orang Sabah.

Sahabatku,
Di sini payah aku mencari kawan yang”veteran” tapi bergaya macam kak Rusta,Kak Mar dan kak Jubai.Mereka semua natural beauty tanpa lipstik di bibir. Bergaya simple sehingga aku takut pula sehingga aku rasa sudah tua berbanding usia.Mungkin kalau berjumpa dengan aku,semua kawan kawan akan terkejut.Nak cari kawan kawan sehati sejiwa macam Eni,Chik,Ina,Ha, Kak Hawa,Kak Chin,Aure dan lain lain tu rasanya macam tak jumpa.Jadi rindu sangat nak bercerita di kantin sampai ‘lupa daratan’.Cikgu-cikgu lelakinya pula alahai manala nak cari kacak macam si Kanthan,Puva,Pisol,Ust Amir Cg Saban dan Cg Manan.Apatah lagi yang hensem seperti Asri,Cg Musnin,Saipul,Haszami dan Cg Param.Ataupun manis macam Ustaz Ruslimi dan Ustaz Idham.Apatah lagi sentiasa smart macam cg Mahmud. Dan Cg Halim.Ataupun juga cute macam Benjamin, Fared dan cg Tukiman. Barulah aku tahu rupa-upanya cikgu cikgu lelaki di Gadong paling tampan di dunia. Aduhai rindunya aku dengan Beaufort.

Sahabatku.
Mungkin lepas ni aku bertambah rindu dengan kontrovesi yang selalu ada di Gadong. Di sini suasana ‘flat’, guru gurunya selalu sibuk mengusung fail ke sana sini. Sibuk dengan TOV,OTI1,OTI2 dan segala macam program di sekolah. Mereka profesional dan sentiasa penuh komitmen dalam tugas.Tak pernah aku mendengar mereka komplen atau merungut jika terpaksa pulang lambat atau terpaksa datang pada hari Sabtu. Apatah lagi guru lelaki dan perempuan dipisahkan di bilik berlainan. Mustahil dapat bergurau senda seperti dengan Fared yang suka’ mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Para pelajarnya pula, ya ampun.....Susahnya aku mengawal mereka.Seakan hilang semua kepakaran aku selama sepuluh tahun untuk membimbing mereka.Malah selalu aku menyeka air mata kerana sedih terpaksa mengharungi keahidupan sepayah begini. Dan di saat begini hati aku menangis terasa sangat betapa selesanya aku di Gadong.Dalam hati berkata kata jika arwah masih hidup aku tidak perlu berhadapan dengan kesukaran begini. Dan tentu pada waktu ini aku masih di Gadong dan berbahagia bersamanya dan bukannya memendam kesedihan setiap hari Ya Allah ampunkan diri ini yang sebegini lemah dalam menghadapi ujian-Mu.Ampunkan hamba –Mu yang mempersoalkan ketentuan takdir yang Engkau tuliskan.

Sahabat-sahabatku,
Payah benar aku meyesuaikan diri di sini.Aku menjadi serba canggung dan serba kekok.Aku menjadi pesimis dan buntu untuk membuat keputusan.Kehilangan suami benar benar menyebabkan aku hilang tempat bergantung. Jika selama ini dia akan menyelesaikan segala kekusutan yang aku alami. Dia dengan sabar mendengar segala masalah dan keluhan yang aku lontarkan.Ketiadaan dia menyebabkan dunia sekeliling aku turut mati.Tidak tahu kepada siapa lagi aku ingin mengadu keluh kesah.Tiada lagi orang yang sanggup membawa aku ke mana sahaja yang ingin aku pergi.Kehilangan ini menyebabkan aku jadi cemburu kebahagiaan orang lain kerana aku tidak mungkin menikmati lagi kebahagian seperti itu. Dan berbahagialah kamu semua kerana masih memiliki orang tersayang dan masih di Gadong.Bersyukurlah.....

Sahabatku semua,
Sampai di sini coretanku.Mudah mudahan dapat menghilangkan sedikit kerinduan pada masa lalu.Doakan dan titipkan kasih sayang kamu semua agar aku dapat bertahan disini.Salam kasih dan sayang dari kami sekeluarga.

Thursday, May 28, 2009

Selamat Tinggal 'Ayah'.......


Bertuahnya kamu yang masih bergelar isteri……………..

Selalunya seawal jam 5 pagi ‘ayah’ yang mengejutkan umi untuk sembahyang subuh, sebab seawal 4 pagi ayah sudah bangun, mengaji dan beribadat. Kadang tu umi masih tarik selimut dan tarik muncung panjang.Kalau 5.30 umi belum bangun,ayah akan lap muka umi dengan tangan ayah yang basah selepas mencuci kain.Lalu kelam kabutlah umi bangun sebab belum lagi buat sarapan.Ayah sambung kembali mencuci kain, walaupun selalu umi melarang.Ye lah sudah ada pembantu rumah tetapi kenapa selalu ayah yang mencuci baju,mencuci piring dan mengemas rumah.Kata ayah pembantu hanya membantu bukan membuat kerja yang sepatutnya kita buat.Dan umi akan tarik muncung panjang. Dalam hati memberontak. Sebabnya umi akan buat semua kerja kerana tidak sampai hati ayah kepenatan bekerja masih lagi membuat kerja rumah. Hai bertuahnya pembantu rumahku…..

Kemudian ayah akan bising lagi jika si Ain lambat bersiap. Mandi pun sampai setengah jam. Kalau 6.20 belum lagi siap, ayah akan sibuk menyiapkan anak perawannya memakai baju sekolah sambil air mata Ain meleleh kerana kena leter. Umi terpaksa diam sebab kalau membela si Ain, umi pula akan kena marah. Jam 6.20 ayah sibuk menjemur pakaian dan akan pastikan kami bersarapan bersama. Dan umi akan mencium tangan ayah sebelum bergegas ke sekolah. Kadang tu sempat jugak ayah beri komen, “ bedak umi terlampau putih sangat (dan ayah akan ambil tisu ‘touch up’ pipi umi),dan selalunya akan gosok mata umi dengan komennya ‘macam budak budak tahi mata melekat”.Dan umi akan tarik hidung ayah dengan perkataan “penyebok”.

Selalunya sebaik umi menghidupkan enjin kereta, pesanan ayah”jangan lupa lock pintu, cermin jangan kasi rendah sangat nanti orang senang cekik awak” Tapi selalunya umi ketawa “Bofot tak ada orang jahat lah ayah” Bimbang ayah terlalu keterlaluan bagi umi. Dan ayah akan menunggu di pintu sehinggalah umi hilang dari penglihatannya.

Kerja ayah tak menentu, kadang kala seawal pukul tiga pagi ayah sudah keluar. Kalau umi bangun untuk menyiapkan kopi, kata ayah “Tidur la, nanti jam 5 umi kena bangun lagi.kesian awak” Dan ayah akan mencium kami anak beranak sebelum dia keluar. Jam 7 pagi ayah akan menelefon bertanya khabar. Begitulah rutin ayah.

Ayah pulang kerja pun tidak menentu, kadang tengah hari ,kadang petang dan kadang tengah malam tapi ayah akan berusaha untuk pulang. Kata ayah, biarlah dia kena marah dengan bos yang penting dia mesti pulang ke rumah berkumpul dengan anak isteri.

Kami akan tunggu ayah pulang. Bila pintu pagar dibuka orang dan terdengar derap kaki, kami sudah tahu ayahlah yang pulang.Tak pun bunyi suara kereta ayah didepan rumah yang sudah kami hafal. Pertama mesti Miro akan akan meluru dan cuba memeluk ayah. Tapi ayah akan menolak dengan baik dengan alasan badan ayah kotor penuh habuk dan debu. Kami faham kerja ayah memang begitu kerana ayah bukannya kerja di pejabat berhawa dingin tetapi di tengah panas dengan habuk dan debu. Miro akan bertanya, ayah jomlah kita main ultramen dengan raksasa. Ayah akan jawab ,nanti ye ayah mandi dulu nak. Soalan pertama umi pula “ayah sudah makan?” .”Selalunya ayah akan jawab, ayah mahu mandi dan sembahyang dan kemudian barulah makan. Di meja makan ayah akan bertanya,macam mana di sekolah ok ke? .Nah, panjang lebarlah umi bercerita tentang guru guru tentang keranah anak murid. Kadang tu ayah sudah selesai makan,cerita umi belum jugak habis. Nasihat yang selalu umi dengar, ayah akan cakap, “Tak payah lah sibuk sangat hal yang bukan urusan awak. Berzikirlah banyak-banyak”.Geram jugak .Tapi besoknya sama jugak cerita umi.

Selepas makan ayah akan penuhkan janji dengan Miro.Ayah akan jadi raksasa dan Miro pula ultramen. Sampai berpeluh peluh mereka berlawan. Selepas penat, ayah akan cakap umi tolong urutkan badan ayah.. Kadang tu ada pula pakej cabut rambut putih.Sampai tesenguk senguk umi dibuatnya.

Kalau cuti ayah akan mengambil kesempatan pergi ke Kota Kinabalu, membawa anak bersiar siar dan menemankan umi pergi shoping. Selalunya ayah bawa kami ke CP,anak anak akan sibuk beli token dan main segala permainan di sana. Kesempatan itu juga umi akan shoping puas puas tanpa gangguan.

Setiap kali Tahun Baru Cina ayah akan bawa kami makan angin dan destinasi pilihan ayah ialah Kundasang dan Ranau. Semacam jadi rutin, disanalah kami menghabis cuti dan juga menghabiskan duit.

Pernah umi sakit, seminggu terlantar di hospital Keningau, disanalah ayah menunggu. Tidur di kerusi berbantalkan lengan. Setiap pagi dan petang ayah lapkan umi dengan air suam, cucikan gigi umi, sikatkan rambut umi kerana umi tidak mampu bergerak. Suapkan bubur, sampai umi jadi malu pada jururawat.tapi sebenarnya sangat bahagia kerana mempunyai suami yang sangat penyayang.

Kalau hujung tahun umi menghabiskan cuti di kampong, sedangkan ayah di Beoufort , hampir tiga kali sehari ayah bertelefon sampai mak menyindir macamlah barulah bercinta. Tapi itulah ayah yang umi kenal.. Dan kalau menjemput di airport, ayahlah orang paling depan dimuka pintu balai ketibaan.

Ayah,
Rindunya kami pada ayah. Tidak mungkin lagi umi akan ulang segala rutin tersebut. Siapakah lagi yang akan kami tunggu. Siapakah lagi yang akan makan masakan umi. Siapakah lagi yang akan miro ajak bermain ultramen. Siapakah lagi yang akan menbawa kami bercuti.

Ayah,
Betapa sukarnya umi menerima hakikat bahawa ayah sudah tiada lagi. Sampainya hati ayah meninggalkan kami. Mampukah kami hidup tanpa.ayah. Ingin umi menjadi isteri ayah dunia dan akhirat.T api sudikah ayah memilih umi berbanding bidadari syurga.Ya Allah kuatkan hati kami dirempuh badai kerinduaan ini.Tempatkan dia dalam kalangan hamba-Mu yang beriman. Al-fatihah untuk suami ku yang tercinta yang pergi selamanya pada 28 April 2009. Selamat tinggal ayah, bersemadilah dengan aman di bumi Beaufort kerana kami akan pulang ke Terengganu, entah bila lagi menziarahi ayah. Dari jauh kami mengirim doa agar ayah kehidupan ayah di sana aman dan berbahagia.


Tuesday, May 19, 2009

Smk Gadong, kasihku tertumpah disini..


Bismilahhirahmanirrahim,

Sangat berat untuk aku memulakan catatan ini kerana ini adalah catatan ucapan selamat tinggal setelah sekian lama berkhidmat di SMK Gadong Namun aku tahu saat begini akan tiba juga tapi sesungguhnya saat ini datang dalam keadaan yang tidak terduga sama sekali.
Sahabat sekalian,

Pertama kali aku datang ke Gadong tanpa perasaan apa-apa. Bukan jugak takut tidak diterima.Tidak juga terlalu teruja akan dipuja. Tapi tanpa sedar sudah lapan tahun aku di sini.Segala pahit manis, suka duka menjadi kenangan yang tidak mungkin aku dapat di tempat lain.

Sahabat sekalian,
Selama 8 tahun terlalu banyak peristiwa yang mendewasakan aku.Di sini juga aku serba sedikit terpalit dengan kontrovesi serta politik dalaman .Mungkin tahun-tahun terakhir ini kita selalu berprasangka,berpandangan negatif sesama sendiri,ada sedikit perasaan iri hati, busuk hati tetapi bersembunyi disebalik wajah profesional .

Sahabat-sahabatku,
28 April 2009 tanggal ini sebenarnya telah menyatukan kita semula. Tanpa sedar ki
ta, menzahirkan perasaan kita yang selama ini tersembunyi disebalik kesibukan duniawi. Dalam musibah yang menimpa ada hikmah yang tersembunyi. Ternyata besarnya kasih sayang sesama kita tanpa mengira agama dan keturunan, yang selama ini kita tidak menyedarinya atau sengaja melupakannya. Dan sesungguhnya aku sangat bertuah kerana ditempatkan di SMK Gadong yang tidak mungkin aku peroleh sahabat-sahabat sebaik anda semua walau di tempat kelahiranku sendiri.

Sahabatku,
Ujian Allah sangat berat untuk aku tempuhi . Tambahan pula seorang diri diperantauan jauh daripada sanak saudara. Menggigil dan gelap pandangan apabila aku dibawa berjumpa suami yang didepan mata hanya sekujur t
ubuh kaku di kamar mayat hospital, sedangkan sejam lepas masih aku terdengar suaranya menelefon bertanya khabar dan menyatakan rindu. Ya Allah terhenti rasanya seketika dunia dari berputar.Masih terbayang senyumnya,cintanya yang tidak pernah luntur, dalam kasihnya untuk kami. Namun cinta Allah lebih abadi. Janji Allah itu pasti.

Sahabatku,
Disaat sebegitu, kurnia Allah sangat besar. Anda semua hadir memberi bahu untuk disandar. Memberi tangan untuk memimpin. Ternyata aku tidak keseorangan menghadapi dugaan ini. Semua guru SMK Gadong (pelbagai kaum dan keturunan) berkumpul di kamar mayat memberi sokongan kepadaku sehingga menimbulkan perasaan hairan kaki tangan hospital . Arwah hanyalah pekerja biasa(pemandu lori) tetapi mempunyai rakan yang bertali leher dan berpakaian formal. Kasih sayang anda semua memberi kekuatan padaku.Jalan yang terasa gelap terbit sajalur cahaya kasih sayang anda yang menerangi. Sesungguhnya aku insan bertuah kerana dilimpahi kasih sayang yang melimpah ruah dari anda semua.

Sahabatku,

Berat hati ini meninggalkan SMK Gadong.Namun apalah daya, aku hanya insan kerdil di bumi Allah ini. Kenangan bersama arwah bagai filem yang berputar tanpa henti. Aku tidak mahu hanyut dalam kesedihan yang berpanjangan.Berikan aku ruang untuk bangkit kembali. Membina kekuatan sendiri, mendidik dan membesarkan anak-anak tanpa suami.

Sahabatku,
Jika anda seorang suami, jangan kedekut menzahirkan perasaan cinta pada isteri. Lafazkan berulangkali biar isterimu tersipu malu. Ucapkan rindumu walau dia didepan mata, kerana isteri memang fitrahnya ingin dipuji dan dimanja. Ringankan tanganmu untuk menolong kerja rumah yang tidak pernah habis. Sabarkan hatimu mendengar leterannya walau dirimu letih.


Sahabatku,
Jika anda bergelar isteri, layanlah suamimu seikhlas hati. Cintai dirinya seadanya. Banyakkan memberi bukan meminta. Hiaskan dirimu untuk dirinya. Sabarlah dirimu dengan hobinya. Fahamilah jiwanya,jagalah hartanya. Jangan kau rebut kasih pada ibu bapanya melebihi dirimu. Sesungguhnya kamu bertuah kerana masih ada suami yang sedia melindungimu dan menyintaimu sepanjang masa.

Sahabatku,
Jika anda masih berseorangan, jangan menolak jodoh jika dia insan biasa. Kebahagiaan bukan terletak pada pangkat atau harta. Jangan takut mendirikan rumah tangga hanya semakin berusia. Suami Siti Khadijah ternyata lebih muda.

Sahabat-sahabatku,
Tidakku tahu sama ada kasihkah sahabat baruku kepadaku nanti sebagaimana kasihnya kamu pada diriku. Kita boleh bergurau, berjenaka tanpa prasangka. Di tempat baru nanti, sudikah mereka menerima ku dengan status janda. Gelaran yang berat untukku pikul. (Tapi kamu semua tidak pernah peduli dengan itu semua) Kawan lelaki tentu menjauh takut diftnah. Kawan perempuan takut mendekat bimbang suami dirampas.

Sahabat-sahabatku,
Doakan diriku agar tabah dan menghadapi hari muka. Doakan anak anakku menjadi insan beragama. Sedekahkan al fatihah untuk arwah suamiku yang tercinta.

Sekian. SMK Gadong kasihku tertumpah.


Artikel ini dikirim oleh Cg Rohani (SMK Gadong, Beaufort) tanda terima kasih kepada warga Sekolah tersebut yang begitu prihatin. Kepada sesiapa yang ingin mengirim sebarang artikel untuk disiarkan, sila emelkan pada qamarulngah@gmail.com Artikel anda biarlah yang asli dari idea dan fikiran anda sendiri. Insyaallah saya akan post kan dalam blog ini. sertakan juga serba sedikit mengenai maklumat diri anda dan maklumat ini akan dirahsiakan, hanya nama pena anda akan saya siarkan.

untuk tinggalkan pesanan atau kata2 perangsang, anda boleh taibkan di kotak komen dibawah, jika tidak punyai profile, anda bleh gunakan anonymous di ruangan comment as... tapi jangan lupa letak nama pengenalan anda...


Sesiapa yang nak ambik apa2 artikel dalam blog ini adalah di alu-alukan, tak perlu minta izin dari aku, sama2 la kongsi ilmu, manfaatkan apa yang ada, sebaik-baiknya, rekemenkan blog ini kepada rakan2, jiran2, adik beradik anda, dan kepada siapa sahaja yang anda kenal dan rasa sesuai termasuk ketua kampung dan jkk kawasan anda....tq